NASIHIN sahkan tidak dapat menggunakan dua pemain import dari Argentina. FOTO Malik Muhamad
NASIHIN sahkan tidak dapat menggunakan dua pemain import dari Argentina. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


IMPIAN Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) untuk menggunakan khidmat dua pemain import dari Argentina, Agostina Galimberti dan Micaela Andrada Farace di saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) musim ini berakhir selepas kedua-duanya sah tidak dapat hadir sebelum saingan liga berakhir.

Perkembangan terbaharu itu sudah pasti memeningkan kepala pengendalinya, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang sebelum ini mengharapkan pemain yang beraksi di posisi tengah dan penyerang itu hadir bagi memantapkan lagi pasukan.

“Kami pasti tidak dapat gunakan khidmat dua pemain import itu sehingga berakhir musim ini kerana mereka tidak dapat datang juga membantu pasukan berikutan komitmen dengan kelab lain.

“Kami dapat tahu pada saat-sata akhir kelab lain sudah lama mahukan khidmat pemain berkenaan dan sedikit terlambat untuk mengikat pemain itu.

“Namun begitu kami juga sudah berusaha untuk dapatkan pemain itu sebagaimana yang dirancang, tapi akhirnya gagal juga.

“Bagaimanapun sebagai jurulatih, saya perlu ada perancangan dan strategi menggunakan pemain sedia ada untuk mengharungi baki tiga perlawanan liga.

“Lagipun saya tetap percaya dengan pemain yang ada kerana kami mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan walaupun kami akui tidak dapat bermain sebagaimana perancangan awal,” kata Nasihin yang mendedahkan pemain berkenaan lebih berminat beraksi bersama kelab lain berbanding TLHT.

Sebelum ini pemain itu dilaporkan akan tiba lewat kerana masalah penerbangan, namun dengan perkembangan terbaharu itu, Nasihin tidak mempunyai pilihan lain kecuali mempertaruhkan pemain sedia ada.

Juara berganda musim lalu itu kini menghuni tangga kedua liga dengan mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan dan satu seri di belakang pendahulu liga, Hockademy yang mengutip 18 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 9:49 PM
Kabinet Malaysia 2020