HUNT (kanan) meraikan kemenangan Harrif pada edisi ke-25 Petronas LTdL 2020, semalam.
HUNT (kanan) meraikan kemenangan Harrif pada edisi ke-25 Petronas LTdL 2020, semalam.
Aida Adilah Mat


Alor Setar: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh kini mampu mencabar dunia selepas kejayaannya meraih dua kemenangan peringkat di Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.

Itu keyakinan dilaungkan jurulatih TSG, Jeremy Hunt selepas pelumba berusia 31 tahun itu melakar sejarah tersendiri di LTdL.

Kata Hunt, Harrif kini lebih tenang, matang dan ia dibuktikan apabila dia menggunakan pengalamannya selama 12 tahun berlumba di LTdL untuk menewaskan pelumba berstatus WorldTour dan ProTeam di LTdL kali ini.

“Harrif beraksi dengan baik sepanjang saingan LTdL kali ini. Ketika kami mula bekerjasama beberapa tahun lalu kami tahu dia pelumba pecut yang baik, tapi dia tidak menggunakan sepenuhnya kelebihan dia ada.

“Dia selalu gementar, tapi selepas diberi latihan betul, dia lebih tenang dan bijak menggunakan peluang ketika berada dalam kelompok pecut. Dia dapat memecut pantas dan mampu menang perlumbaan lebih besar sekarang.

“Harrif ada kuasa bersama basikalnya dan apa yang dia perlu sekarang adalah berada di tempat betul dan dia akan menang. Harap dia dapat meneruskan persembahan mantap seperti ini untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.

Hunt sebelum ini melatih pasukan Synergy Baku Cycling Project sebelum bersama TSG sejak penghujung 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 7:56 AM