PENYERANG JDT, Safawi Rasid (kanan) diasak pertahanan Vissel Kobe, Thomas Vermaelen.
PENYERANG JDT, Safawi Rasid (kanan) diasak pertahanan Vissel Kobe, Thomas Vermaelen.
Firdaus Hashim


KEKALAHAN 1-5 di tangan Vissel Kobe sememangnya sangat pahit untuk ditelan barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) termasuk pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Tunku Ismail, wujud jurang ketara antara JDT dan kelab Jepun itu yang nyata berada pada kelas tersendiri untuk merakam kemenangan pertama pada kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Misaki Park, Kobe, Jepun kelmarin.

Jelasnya, ia adalah pengalaman berguna buat skuad Harimau Selatan supaya bangkit mempamerkan aksi lebih bertenaga dalam baki aksi Kumpulan G itu yang turut dihuni Suwon Bluewings (Korea Selatan) dan Guangzhou Evergrande (China).

“Kelas yang berbeza. Kita perlu bersikap realistik dan terima hakikat yang mereka mempunyai lebih kualiti daripada kami. Ini adalah pengalaman baik buat kelab JDT. Ini pengajaran berguna buat mematangkan pasukan, tetapi apapun kami akan berjuang hingga aksi terakhir.

“Ini adalah ACL terima kasih kepada semua penyokong bola sepak Malaysia yang memberi sokongan,” katanya menerusi laman Instagram miliknya semalam.

Dalam aksi itu, ketua pasukan Vissel Kobe, Andres Iniesta menjadi duri dalam daging apabila menampilkan persembahan cemerlang di mana dia menyumbang tiga bantuan gol kepada Keijiro Ogawa yang meledak hatrik.

Dua lagi gol dijaringkan oleh Kyogo Furuhashi dan Douglas, manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama.

Sementara itu, pengurus pasukan Luciano Figueroa berkata, pemainnya beraksi baik pada 15 minit pertama sebelum hilang fokus apabila lebih banyak memerhatikan Iniesta dan mungkin ‘terpesona’ dengan aksi bekas bintang Barcelona dan Sepanyol itu.

“Pemain kebangsaan Jepun serta Iniesta adalah berkelas tinggi. Saya juga merasakan pemain kami bagaikan terpesona dengan kelibat Iniesta. Mereka (pemain JDT) tidak bermain cara biasa dan lebih banyak memerhati dia (Iniesta), dan sikap memerhati bola ini menghukum kami.

“Bagaimanapun, ia adalah satu proses pembelajaran yang baik untuk kami berkembang dan memahami apa yang diperlukan untuk bermain di peringkat tinggi ini. Saya harap kami akan lebih baik dan untuk mencapainya kami perlu bekerja lebih keras.

“Saya teruja bekerja bersama Mora dan pemain untuk memperbaiki kelemahan dan melakukan yang terbaik untuk setiap perlawanan musim ini,” kata Figueroa.

Dengan kemenangan itu, Vissel Kobe kini mendahului Kumpulan G selepas dua lagi pasukan tidak beraksi kerana perlawanan ditangguhkan akibat penularan wabak coronavirus baharu.

Selepas ini, JDT akan bertemu kelab dari Korea Selatan, Suwong Bluewings di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 7:59 AM