LEE Zii Jia perlu bekerja lebih keras menjelang Sukan Olimpik.
Saiful Affendy Sapran


HANYA pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berpeluang meraih pingat bagi skuad badminton negara di temasya Sukan Olimpik Tokyo sekali gus menjadi penyelamat kepada skuad negara.

Itu pandangan bekas pemain negara, Datuk James Selvaraj yang berasakan agak sukar untuk barisan pemain lain memenangi pingat berbanding Zii Jia.

Malaysia tidak pernah gagal memenangi pingat acara badminton sejak tiga edisi Sukan Olimpik sebelum ini iaitu ketika era yang menyaksikan pembabitan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Ia akan menjadi lebih buruk kepada Malaysia jika tidak memenangi pingat. Jika mereka pulang membawa pingat, bermakna ada sinar untuk badminton negara. Namun jika tiada pingat, mereka tidak dapat meneruskan legasi ditinggalkan Chong Wei.

"Satu-satunya pemain yang saya rasakan mampu membawa pulang pingat adalah Zii Jia. Tetapi dia perlu bekerja keras untuk tempoh baki persiapan sebelum ke Sukan Olimpik. Beregu lelaki negara mungkin ada peluang juga tetapi amat tipis selepas mengambil kira kekuatan pasangan Indonesia, Jepun dan China," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pengunduran dirinya daripada syarikat Bata Sdn Bhd selepas 40 tahun dengan jawatan terakhirnya sebagai pengurus kanan pemasaran.

Selvaraj berkata, dengan pengundurannya itu, beliau kini sedia menabur khidmat bersama mana-mana pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekiranya memerlukan kepakarannya.

Untuk rekod, Selvaraj pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Prestasi Tinggi BAM.

"Saya juga bersedia memberikan khidmat kepada mana-mana kelab atau persatuan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:35 PM