Agba (kanan) senjata Melaka pada saingan Liga M musim ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Agba (kanan) senjata Melaka pada saingan Liga M musim ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


AKSI mantap gabungan penyerang import, Uche Agba dan Sony Norde memberi kelegaan buat pasukan Melaka menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga M) berdepan UiTM FC pada 29 Februari ini.

Penolong pengurus skuad Hang Tuah, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, kombinasi terbabit yang beraksi cemerlang turut membantu kemenangan 4-1 mengatasi Sarawak di Kuching malam tadi.

Katanya, ia permulaan memberangsangkan dalam misi mengharungi saingan Liga M yang dijangka sengit musim ini.

Sehubungan itu, dia mengharapkan mereka mampu menjelmakan sentuhan lebih tajam pada aksi sebenar kelak.

Jaringan skuad Hijau Putih dalam perlawanan terbabit dicetak menerusi Agba yang juga bekas penyerang PDRM meledak dua gol sementara Norde dan Razman Roslan masing-masing turut menyumbang satu gol.

"Keseluruhan kami melihat corak permainan yang disusun jurulatih Zainal Abidin Hassan mampu diserap pemain untuk menampilkan aksi agresif menembusi kubu lawan.

"Berikutan itu, sudah pasti kami mengharapkan momentum terbabit mampu dikekalkan malah lebih baik musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 9:33 PM