NEYMAR selar kelabnya kerana tidak membenarkan dia turun beraksi. FOTO AFP
NEYMAR selar kelabnya kerana tidak membenarkan dia turun beraksi. FOTO AFP
AFP

NEYMAR mengkritik cara Paris Saint-Germain berurusan dengan masalah kecederaannya sejak kebelakangan ini selepas mereka tumpas 1-2 kepada Borussia Dortmund sekali gus menyaksikan kelab berkenaan berdepan dengan tersingkir awal di Liga Juara-Juara.

Selepas terlepas aksi empat perlawanan akibat kecederaan tulang rusuk, bintang Brazil itu dilihat kurang cergas pada aksi perlawanan pertama pusingan 16 terakhir apabila tumpas di Dortmund.

Peledak gol kelahiran Norway, Erling Braut Haaland menjaringkan dua gol untuk membolehkannya berkongsi kedudukan penjaring terbanyak Liga Juara-Juara tatkala Neymar memberikan talian hayat menerusi jaringan tunggal sebelum perlawanan kedua diadakan di Paris pada 11 Mac.

Neymar, pemain termahal dunia, mengkritik juara liga Perancis itu kerana tidak membenarkan dia beraksi sebelum perlawanan awal pagi tadi.

“Ia memang sukar untuk turun beraksi selepas empat perlawanan berehat. Malang sekali ia bukannya keputusan saya. Ia adalah keputusan kelab dan doktor, di mana saya tidak menyukainya.

“Kami ada mengadakan perbincangan mengenai perkara ini kerana saya mahu turun bermain. Saya rasa boleh bermain namun kelab berasa gusar dan akhirnya saya yang merana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 8:32 PM
Digital NSTP Subscribe