PEMAIN UniKL meraikan kejayaan menewaskan Maybank 2 - 0 pada perlawanan separuh akhir Piala TNB antara UNIKL lawan Maybank di Satadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO NSTP/OWEE AH CHUN.
PEMAIN UniKL meraikan kejayaan menewaskan Maybank 2 - 0 pada perlawanan separuh akhir Piala TNB antara UNIKL lawan Maybank di Satadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO NSTP/OWEE AH CHUN.
Saiful Affendy Sapran


UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) hanya tinggal selangkah untuk meraih gelaran treble apabila berjaya menempah tiket ke final Piala TNB selepas menewaskan Maybank 2-1 pada aksi separuh akhir hari ini.

Pada perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, skuad bimbingan Arul Selvaraj bagaimanapun terpaksa bekerja keras selepas mendapat tentangan hebat daripada Maybank.

“Saya harus berikan kredit kepada Maybank kerana mereka mempamerkan prestasi paling terbaik apabila bertemu kami hari ini. Ia bagus untuk pemain menjelang aksi final.

“Pujian juga wajar diberikan kepada barisan pemain saya yang terpaksa bekerja keras sehingga tamat perlawanan untuk pastikan kami melangkah ke final.

“Pihak pengurusan sememangnya menetapkan sasaran untuk meraih kejuaraan liga dan Piala TNB. Harap kami dapat memenuhi sasaran itu,” kata Arul ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

UniKL yang sudah memenangi Piala Sumbangsih serta kejuaraan Liga Perdana, melakukan asakan awal namun ia gagal menghasilkan gol.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim memastikan UniKL di depan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-33.

Selang dua minit kemudian UniKL dihadiahkan penalti stroke dan ia di sempurnakan oleh Razie menjadikan kedudukan semasa UniKL mendahului 2-0.

Namun Maybank memberi tekanan kepada UniKL sehingga akhirnya mereka berjaya merapatkan jurang hasil pukulan sudut penalti Adam Aiman Mamat minit ke-54.

Maybank berpeluang untuk menyamakan kedudukan dua minit sebelum tamat perlawanan tetapi mereka gagal menyempurnakan pukulan sudut penalti. Perlawanan final akan berlangsung Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 10:59 PM
Digital NSTP Subscribe