SAMEER (kiri) menerima kunjungan daripada Presiden KRM, Shahrul Zaman (tengah) di HKL. FOTO IG Shahrul Zaman
SAMEER (kiri) menerima kunjungan daripada Presiden KRM, Shahrul Zaman (tengah) di HKL. FOTO IG Shahrul Zaman
Syazwan Msar


Selepas lima kali bahu ‘tercabut’, pemain muda ragbi negara Muhammad Sameer Muhammad Sani Surinder akhirnya terpaksa akur menjalani pembedahan dan ia juga adalah kecederaan berulang ketika bermain bola tampar Disember tahun lalu.

Muhammad Sameer berkata, kecederaan pada bahu kanan itu melenyapkan impian untuk beraksi bersama skuad kebangsaan ke Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2020 pada Jun nanti selepas terpaksa berehat untuk tempoh sekurangnya tujuh bulan.

Katanya, dia menjalani pembedahan hari ini selepas menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 16 Februari lalu.

“Sudah lima kali saya mengalami kecederaan bahu dengan empat kali ketika mewakili negara dalam kejohanan ragbi manakala yang terakhir adalah apabila bermain bola tampar.

“Doktor menasihatkan supaya saya menjalani pembedahan bagi merawat kembali kecederaan terbabit bagi mengelak ia berulang,”katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Muhammad Sameer menerima kunjungan daripada Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya yang melawatnya di hospital bagi memantau perkembangan terkini pemain ragbi berusi 19 tahun itu.

Sementara itu, Muhammad Sameer berkata, sepanjang tempoh rawatan terbabit, dia akan dipantau oleh doktor persatuan dan berharap akan pulih segera supaya dapat beraksi kembali bersama skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 11:16 PM
Digital NSTP Subscribe