PELUMBA pasukan TSG dikerumuni peminat sebaik selesai majlis memperkenalkan pelumba di Dataran Batu Buruk semalam .FOTO MALIK MUHAMAD
PELUMBA pasukan TSG dikerumuni peminat sebaik selesai majlis memperkenalkan pelumba di Dataran Batu Buruk semalam .FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


PASUKAN lumba basikal bertaraf benua, Terengganu Inc Cycling Team (TSG) mempertaruhkan dua muka baharu bagi memperkuat pasukan itu musim ini.

Pelumba import berkenaan ialah Christofer Jurado, 27, dari Panama dan Carlos Quintero, 33, dari Colombia yang pernah mewakili pasukan Monzana Postoban, Colombia dan China Continental Team of Gansu Bank, China.

Selain itu pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu turut menyenaraikan dua pelumba muda tempatan, Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Badrul Fadlisham dan Wan Abdul Rahman Hamdan.

Turut berada dalam senarai pelumba pasukan itu termasuk kapten, Mohd Zamri dan adiknya Mohd Harrif Saleh, Ovechkin Artem (Rusia), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Muhamad Afiq Huznie Othman, Goh Choon Huat (Singapura), Irwandie Lakasek, Mohd Shahrul Mat Amin, Maral Erdene Batmunkh (Mongolia), Metkel Eyob Teweldeberhan (Eritrea), Drew Morey (Australia) dan Youcef Reguigui dari Algeria.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, musim ini cabaran untuk mengekalkan status selaku pasukan nombor satu jelajah Asia agak sengit kerana pesaing turut melakukan persediaan rapi bagi memantapkan pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, dengan kekuatan yang ada pada pelumba selain sentuhan jurulatih Jeremy Hunt, TSG tetap dilihat antara pencabar utama.

“Dengan cabaran sengit dan peraturan baharu pengiraan mata yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), saya sifatkan tahun 2020 adalah musim yang paling mencabar buat TSG.

“Tapi kita akan cuba pertahankan dengan momentum yang dipamerkan pelumba TSG sebagaimana perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) baru-baru ini, saya yakin kita mampu mempertahankannya (juara jelajah Asia),” ujarnya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kayuhan Shimano Fellowship Ride 2020 dan Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Barisan Penaja Pasukan TSG 2020 di Dataran Batu Buruk semalam.

Che Ku Mohd Izamuddin menyatakan pihaknya juga selesai melakukan pemilihan dan mengambil dua pelumba baharu anak tempatan bagi membarisi Terengganu Inc TSG Cycling Academy (TSG Academy).

“Kita jalankan proses pemilihan yang ketat bagi mencari pelumba benar-benar berbakat bagi mengisi tempat di akademi sejak tahun lalu.

“Dua pelumba baharu iaitu Zulfadli Iswadi Zainal dan Muhammad Fikri Majemin akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Wan Muhammad Hamizan Ifwat dan Wan Abdul Rahman yang diserap ke pasukan elit TSG.

“Selain dua pelumba itu, pasukan akademi TSG turut dibarisi Muhammad Ariff Redzuan Zulkefli, Muhammad Nasrullah Zakaria dan Muhammad Khalid Nasiruddin,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 12:41 AM
Digital NSTP Subscribe