AKSI Limbombe (kiri) menjaringkan gol Nantes di Velodrome Stadium. FOTO AFP
AKSI Limbombe (kiri) menjaringkan gol Nantes di Velodrome Stadium. FOTO AFP
AFP

ANDRE Villas-Boas tidak mempunyai banyak alasan selepas rekod 14 perlawanan tanpa kalah Marseille dalam aksi Ligue 1 lebur apabila tewas 1-3 kepada Nantes di tempat sendiri, awal pagi tadi.

Marseille menduduki tangga kedua dan berpeluang cerah layak ke Liga Juara-Juara musim depan susulan prestasi cemerlang tetapi dikejutkan tiga gol pelawat menerusi jaringan Anthony Limbombe dan Abdoul Kader Bamba serta gol sendiri Alvaro pada minit akhir perlawanan di Stade Velodrome.

Morgan Sanson menyalakan harapan Marseille dengan jaringan menarik lima minit sebelum rehat tetapi Villas-Boas mengakui pasukannya memang patut kalah selepas mempamerkan prestasi hambar.

"Kami tidak cukup bagus hari ini, kami banyak kehilangan bola dan bergelut merancang permainan,” kata pengendali dari Portugal itu.

"Kami yakin dapat menukar tempo perlawanan apabila menyamakan kedudukan tetapi jaringan kedua mereka menyentap semangat kami.”

Marseille kini sembilan mata di atas Lille yang menduduki tangga ketiga selepas menewaskan Toulouse 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 9:22 AM
Digital NSTP Subscribe