SUMAREH belum lagi menjalani latihan bersama rakan sepasukan.
SUMAREH belum lagi menjalani latihan bersama rakan sepasukan.


MASALAH kecederaan menghantui skuad Pahang menjelang perlawanan pertama saingan Liga Super bertemu Selangor di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Antara pemain berdepan masalah kecederaan ialah Mohamadou Sumareh manakala Herold Goulon pula baru pulih daripada masalah kesihatan yang dijangka menjejaskan persiapan pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh.

Bagi Dollah, dia mengakui situasi itu memberi kesan ketika perlawanan pembuka tirai Liga Super hanya berbaki lima hari.

"Jika diikutkan persiapan Pahang musim ini agak rumit. Bukan sahaja berdepan masalah kecederaan tapi faktor pemain import yang baru bersama Pahang. Saya menerima kehadiran pemain import baru agak lewat ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) hampir bermula dan kini masih tercari-cari kesebelasan terbaik untuk perlawanan pertama bertemu Selangor.

"Dalam aksi persahabatan pun kita hanya sempat mengadakan enam perlawanan dan menyenaraikan pemain sedia ada," katanya.

Mengulas tahap kecederaan Sumareh, Dollah mengesahkan pemain tengah itu belum lagi menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

Katanya, Goulon pula baru sembuh selepas tiga minggu tidak bersama di sebabkan masalah kesihatan dihadapinya.

"Tapi dengan pengalaman dimiliki beberapa pemain diharap membantu pasukan untuk beraksi dengan baik pada perlawanan pertama Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 8:23 PM
Digital NSTP Subscribe