KENNY mengesahkan Terbuka Malaysia akan diteruskan dan tidak terjejas, walaupun berlakunya penularan wabak koronavirus. FOTO NSTP
KENNY mengesahkan Terbuka Malaysia akan diteruskan dan tidak terjejas, walaupun berlakunya penularan wabak koronavirus. FOTO NSTP
BERNAMA

PENGANJURAN kejohanan badminton Terbuka Malaysia dari 31 Mac hingga 5 April ini akan diteruskan dan tidak terjejas, walaupun berlakunya penularan wabak koronavirus.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya akan memastikan langkah pencegahan penularan virus itu diambil dan dilaksanakan, secara proaktif.

“Memang kita akan ambil langkah pencegahan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pemain. Malah petang tadi kita ada mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk dapatkan maklumat mengenai keadaan semasa.

“Kita juga akan dapatkan maklumat mengenai langkah pencegahan yang perlu diambil selain daripada apa yang kita sudah tahu sekarang,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Post Mortem Sukan SEA Filipina, di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Tambah Kenny, BAM juga akan memastikan pemain dari luar negara akan mengikuti polisi yang ditetapkan kerajaan, sebelum memasuki Malaysia untuk menyertai kejohanan itu.

Jelasnya, kerajaan mengenakan polisi di mana pemain dari negara terbabit perlu berada di Malaysia 14 hari lebih awal, dari tarikh kejohanan bermula.

“China merupakan negara pertama yang mengesahkan penyertaan pada Terbuka Malaysia. Memang mereka akan datang, cuma kita kena tahu apa polisi kerajaan untuk negara itu. Mungkin kita akan dapat lebih maklumat lepas mesyuarat bersama KKM, sama ada polisi ini ada pengecualian atau tidak, bagi pemain China yang berlatih di luar negara,” katanya.

Terbaru, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan, penundaan kejohanan badminton Terbuka Jerman yang sepatutnya berlangsung pada 3 hingga 5 Mac ini di Innogy Sporthalle, Mulheim, susulan penularan wabak koronavirus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 7:55 PM
Digital NSTP Subscribe