DUA gadis bergambar di logo Sukan Olimpik di Tokyo. FOTO AFP
DUA gadis bergambar di logo Sukan Olimpik di Tokyo. FOTO AFP
AFP

JAWATANKUASA Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak akan membatalkan atau menangguhkan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo susulan wabak koronavirus kecuali jika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau badan berkuasa yang lain menasihatkan untuk berbuat demikian.

Anggota Kanan IOC, Dick Pound berkata, tiada sebarang perbincangan berhubung Sukan Olimpik Tokyo akan dibatalkan kerana koronavirus.

Pound berkata, IOC hanya akan menyusun semula jadual Sukan Olimpik jika dinasihatkan untuk berbuat demikian oleh pihak berkuasa antarabangsa.

“IOC dan pihak penganjur tidak akan membatalkan, menangguhkan atau melakukan apa sahaja yang berkaitan dengan temasya itu kecuali jika mendapat nasihat daripada WHO atau badan berkuasa tertentu,” katanya.

Setakat ini jelas Pound, IOC tidak mengadakan perbincangan untuk membatalkan temasya sukan itu.

“IOC komited untuk meneruskan penganjuran temasya itu yang sudah melakukan persiapan rapi sejak enam setengah tahun lalu.

“Kecuali jika situasi sangat serius yang memerlukan temasya itu tidak boleh dilangsungkan atau pihak berkuasa melarang untuk melawat mana-mana negara serta yang seumpama dengannya, maka kami akan melakukannya,” katanya.

Ditanya apakah mesej kepada atlet yang sedang menjalani persiapan untuk temasya sukan terbesar dunia bermula 24 Julai sehingga 9 Ogos itu, Pound berkata: “Teruskan menjalani latihan. Kami masih komited dengan penganjuran Olimpik Tokyo tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 11:19 AM
    Digital NSTP Subscribe