SALAH bergambar bersama kanak-kanak ketika diperkenalkan sebagai duta projek Instant Schools Networks semalam. FOTO IG Salah
SALAH bergambar bersama kanak-kanak ketika diperkenalkan sebagai duta projek Instant Schools Networks semalam. FOTO IG Salah
Agensi

SEJAK Mohamed Salah tiba di Liverpool dari AS Roma pada 2017, dua perkara sering dikaitkan dengan dirinya.

Pertama, dia mencipta nama daripada seorang pemain bola sepak yang bagus sehingga kepada antara terbaik di dunia dan kedua, Salah juga menjadi ikon global yang melangkaui dunia sukan dan bola sepak.

Tugas utama Salah sudah tentunya untuk menjaringkan gol serta mencipta ruang yang mana dia melaksanakan tugas itu dengan cemerlang sepanjang di Liverpool.

Bagaimanapun ketika reputasinya dalam bola sepak sudah tidak perlu dipertikaikan lagi, Salah juga menggalas tanggungjawab besar yang memberi impak positif kepada berjuta penduduk di seluruh dunia.

Dia membantu penduduk dunia mengenali Islam apabila kerap bersujud sebagai tanda bersyukur selepas menjaringkan gol, membayar kos untuk membina sekolah dan hospital di kawasan kelahirannya di Nagrig selain menderma kepada Institut Kanser Negara Mesir.

Salah menggunakan statusnya untuk kebaikan selain tugas hakikinya untuk membantu Liverpool meraih kejuaraan liga buat kali pertama selepas 30 tahun.

Terbaru Salah diumum menjadi duta pertama kepada Instant Schools Networks, projek yang dibangunkan oleh Yayasan Vodafone dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk memberikan peluang kepada pelarian anak-anak pelarian kemudahan pembelajaran digital dan internet.

Ia bertujuan untuk meningkatkan peluang pembelajaran kepada sebahagian komuniti di Afrika termasuk Mesir.

Pengarah Perhubungan Luar UNHCR, Dominique Hyde berkata: “Di dalam atau di luar lapangan bola sepak, Salah menjadi inspirasi dan contoh kepada golongan muda di seluruh dunia.

“Peribadinya bersesuaian dengan program yang dijalankan ini. Pembelajaran yang baik akan memberikan harapan kepada golongan pelarian dan cuba untuk mendapatkan kehidupan lebih baik pada masa depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 12:28 PM
Digital NSTP Subscribe