AGUERO meraikan jaringan di   Hillsborough. FOTO Reuters
AGUERO meraikan jaringan di Hillsborough. FOTO Reuters
AFP

MANCHESTER City menang 20 perlawanan domestik berturut-turut selepas mara ke suku akhir Piala FA dengan menewaskan Sheffield Wednesday 1-0 manakala Tottenham tersingkir di tangan Norwich menerusi penentuan penalti awal pagi tadi.

Sergio Aguero menjaringkan gol tunggal juara bertahan pada minit ke-53 di Stadium Hillsborough selepas penjaga gol Wednesday, Joe Wildsmith gagal menahan tolakan jarak dekat penyerang Argentina itu.

Kemenangan tipis itu boleh dianggap tidak sepadan dengan dominasi skuad Pep Guardiola yang menurunkan skuad terkuad ketika menentang pasukan Championship.

Riyad Mahrez dan Gabriel Jesus terlepas peluang terbaik pada babak pertama manakala percubaan Nicolas Otamendi dan Benjamin Mendy terkena tiang sebelum akhirnya, Aguero memecah kebuntuan jaringan.

Walaupun gagal menambah gol, benteng City sukar ditembusi membolehkan mereka mara ke saingan lapan terakhir dan berpeluang merangkul ‘treble’ selepas menjulang hatrik Piala Liga, Ahad lalu dan menewaskan Real Madrid 2-1 pada peringkat pertama saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara. City akan berkunjung ke Newcastle pada aksi suku akhir.

Norwich bakal menjadi tuan rumah kepada Derby atau Manchester United pada aksi suku akhir pertama mereka sejak 1992 selepas mengatasi Spurs menerusi penentuan penalti dalam satu lagi malam derita buat skuad Jose Mourinho.

Jan Vertonghen menanduk masuk gol Tottenham pada awal perlawanan tetapi keputusan Mourinho menurunkan penjaga gol berusia 36 tahun, Michel Vorm buat pertama kali musim ini mengecewakan pasukan apabila dia gagal menampan kemas rembatan jauh Kenny McLean dan bola muntah pantas disambar Josip Drmic untuk jaringan penyamaan pelawat pada minit ke-78.

Kedua-dua pasukan gagal menembusi gawang pada masa tambahan dan ketangkasan Tim Krul menyelamatkan penalti Troy Parrott dan Gedson Fernandes serta rembatan Erik Lamela tersasar melengkapkan malam derita tuan rumah.

Leicester turut mara ke peringkat lapan terakhir selepas menang 1-0 ke atas Birmingham hasil jaringan lewat menerusi tandukan Ricardo Pereira.

The Foxes hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana yang merencatkan peluang ke Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad Brendan Rodgers sekali lagi beraksi tanpa Jamie Vardy yang mengalami kecederaan dan terpaksa menunggu sehingga minit ke-82 untuk memecah kebuntuan jaringan apabila hantaran Marc Albrighton ditanduk masuk Ricardo.

Sheffield United akan menerima kunjungan Arsenal pada aksi suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 7:39 AM