GELAGAT pemain  Real Sociedad meraikan kemenangan di Stadium  Estadio Municipal de Anduva. FOTO Reuters
GELAGAT pemain Real Sociedad meraikan kemenangan di Stadium Estadio Municipal de Anduva. FOTO Reuters
AFP

REAL Sociedad menamatkan impian pasukan divisyen dua, Mirandes dalam kempen Copa del Rey selepas menang 1-0 dan mara ke final buat kali pertama dalam masa 32 tahun.

Sociedad yang menang 2-1 pada saingan peringkat pertama mengesahkan kemaraan menerusi penalti penyerang, Mikel Oyarzabal pada minit ke-41 selepas bola terkena tangan Mirandes.

Final pada 18 April depan di Seville mungkin menyaksikan pertembungan Basque apabila Athletic Bilbao yang menang 1-0 ke atas satu lagi kelab La Liga, Granada pada peringkat pertama akan bertembung pada separuh akhir, awal pagi esok.

Mirandes berusaha menjadi kelab pertama dari divisyen dua mara ke final sejak 1980.

Real Sociedad yang muncul juara Copa del Rey pada 1909 dan 1987 dan menewaskan Real Madrid 4-3 pada suku akhir musim ini beraksi pada final pertama mereka sejak 1988 ketika tewas 0-1 kepada Barcelona.

Dengan 23 gelaran, Athletic Bilbao menduduki tempat kedua dalam senarai pemenang terbanyak Piala di belakang Barcelona yang menjulangnya sebanyak 30 kali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 8:58 AM