SUZUKI (tengah) tak  sabar ledak gol pertama musim ini. FOTO TFC II
SUZUKI (tengah) tak sabar ledak gol pertama musim ini. FOTO TFC II
Malik Muhamad


KAPTEN Terengganu FC II (TFC II), Bruno Suzuki menegaskan dia mempunyai dua misi peribadi apabila pasukannya melayani kunjungan Perak II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Selain mahu mencipta kemenangan kedua berturut-turut, penyerang kelahiran Brazil yang mendapat taraf kerakyatan Jepun itu mengidam meledak gol pertamanya musim ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun yang memulakan kariernya bersama kelab Albirex Niigata dalam Liga Jepun mengakui pentas Liga Perdana musim ini kian mencabar dan sudah tentu sukar bagi setiap penyerang untuk menghasilkan jaringan jika tidak berusaha lebih keras.

"Dua misi peribadi saya bertemu Perak II ialah mahu jaringkan gol pertama musim ini kerana jaringan itu begitu penting sebagai penawar bagi mereka yang bergelar penyerang.

"Impian kedua mahu melakar kemenangan kedua selepas menang tipis 1-0 menundukkan Selangor II minggu lalu hasil jaringan Jordan Mintah. Keyakinan ini ditambah dengan rakan sepasukan sudah bersedia selain mempunyai motivasi yang tinggi untuk menang. Kami percaya mampu melakukannya terutama beraksi di tempat sendiri dengan sorakan padu penyokong," kata Suzuki.

Pemain yang pernah menyarung jersi kelab Home United dan Geylang International dalam Liga Singapura serta Negeri Sembilan pada 2017 kini dilihat kian serasi apabila digandingkan dengan penjaring terbanyak Liga Filipina musim lalu, Mintah di posisi serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 12:53 PM