HASRAT Harimau Malaya mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa negara terjejas  berikutan kegusaran  terhadap penularan wabak  Covid-19.
HASRAT Harimau Malaya mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa negara terjejas berikutan kegusaran terhadap penularan wabak Covid-19.
Syazwan Msar


PERSEDIAAN skuad Harimau Malaya untuk mengekalkan momentum kemenangan menerusi perlawanan persahabatan antarabangsa mungkin terganggu apabila Malaysia dianggap sebagai antara kawasan red zone sekali gus sukar untuk mengadakan aksi pemanas badan bersama negara lain.

Ketika ini, usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa bersama negara lain ditolak berikutan kegusaran mereka terhadap penularan wabak koronarvirus baharu atau Covid-19 yang dilihat semakin membimbangkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata beberapa negara yang dijemput untuk mengadakan perlawanan persahabatan terpaksa menolak permintaan Malaysia atas sebab keselamatan.

Beliau berkata, FAM juga mengambil langkah keselamatan optimum dengan tidak membenarkan skuad Harimau Malaya keluar negara hanya untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Keselamatan pemain dan pegawai pasukan adalah keutamaan menyebabkan kita tidak akan mengadakan perlawanan persahabatan di negara lain.

“Saya sudah menghantar surat jemputan ke beberapa negara, namun setakat ini maklum balas yang diterima adalah mereka tidak mahu menanggung risiko akibat penularan wabak Covid-19.

“Ada antara negara berkenaan menganggap negara kita sebagai zon merah dan tidak boleh dikunjungi atas faktor keselamatan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menangguhkan semua aksi kelayakan termasuk pertemuan antara Malaysia dan UAE pada mesyuarat tergempar badan induk Asia itu, Isnin lalu.

Namun, disebabkan ia turut membabitkan kelayakan ke Piala Dunia 2022, kelulusan terakhir turut memerlukan persetujuan Fifa sebagai badan induk bola sepak dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 6:10 AM