PEMAIN Kedah, Kpah Sherman meraikan jaringan gol pertama buat pasukannya pada perlawanan Liga Super menentang UiTM FC di Stadium UiTM hari ini. FOTO Bernama
PEMAIN Kedah, Kpah Sherman meraikan jaringan gol pertama buat pasukannya pada perlawanan Liga Super menentang UiTM FC di Stadium UiTM hari ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim

KEDAH terus kempunan untuk melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini apabila sekadar terikat 1-1 menentang UiTM FC di Stadium Mini UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.

Keputusan terbaharu itu jelas menimbulkan persoalan apakah sebenarnya yang sedang berlaku ke atas skuad Helang Merah itu yang sebelum ini dicanang antara pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan.

Dalam dua aksi terdahulu, juara Piala FA musim lalu itu kecundang 1-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pembukaan merebut Piala Sumbangsih serta tewas 3-4 di tangan Terengganu FC di Alor Setar, Sabtu lalu.

Lebih malang, skrip sama ketika tewas kepada Terengganu berulang di Shah Alam apabila anak buah Aidil Sharin Sahak gagal mengekalkan kelebihan dengan membenarkan lawan untuk bangkit.

Sudah tentu dengan kegagalan memungut tiga mata itu menyaksikan Kedah terus terperosok di dasar liga bersama UiTM yang turut kempunan meraih kemenangan dalam dua aksi terdahulu.

Kedua-dua pasukan kini hanya memungut satu mata untuk kekal berada pada di tangga ke-10 (Kedah) dan 11 (UiTM).

Dalam aksi itu, pelawat terlebih dulu meraih gol pertama menerusi sepakan lencong tonggak import dari Liberia, Kpah Sherman pada minit ke-30.

Kedah terus melancarkan beberapa siri serangan untuk memburu gol tambahan namun tuan rumah sebaliknya berjaya mengejutkan kubu pelawat apabila menerusi gol penyamaan pada minit ke-81.

Gol buat skuad The Lions itu dihadiahkan oleh Gustavo Almeida selepas bijak menyambut baik hantaran jauh Shafiq AlHafiz sebelum dia tenang meletakkan bola ke dalam gawang Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 11:09 PM