ZULKARNAIN (kiri) dan Nazmi antara pengadil yang disenarai pendek.
ZULKARNAIN (kiri) dan Nazmi antara pengadil yang disenarai pendek.
Firdaus Hashim


TAWARAN imbuhan lumayan kira-kira hampir RM500,000 setahun termasuk kos pengurusan dan pentadbiran bakal menanti dua pengadil profesional tempatan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penubuhan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) yang pertama di negara ini.

Sejajar dengan status selaku pengadil profesional, ia bakal menyaksikan standard pengadil di negara ini diangkat setaraf seperti pengadil profesional di negara Eropah dan Jepun.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, inisiatif ini adalah langkah terbaharu dalam usaha untuk memartabatkan profesion pengadilan ke tahap lebih tinggi.

Malah katanya, MProRS akan membawa misi besar iaitu untuk menjadikan pengadil dari Malaysia sebagai mercu tanda pengadilan yang terbaik di Asia.

“Ini (MProRS) satu lagi usaha kami selepas memperkenalkan projek naturalisasi bagi memperkukuhkan skuad Harimau Malaya sebelum ini. Sudah tiba masanya pengadil diberi pengiktirafan dengan jadikan ia sebagai kerjaya profesional di negara ini.

“Bagaimanapun, bagi mencapai sasaran, MProRS perlu menerapkan budaya pengadilan yang benar-benar profesional dan konsisten pada setiap perlawanan selain penggunaan teknologi dalam meningkatkan lagi prestasi pengadil.

“Mereka yang terpilih menyertai MProRS ini sudah tentu akan diberikan bimbingan secara lebih terperinci, dilatih dengan profesional dan dinilai prestasi mereka supaya status pengadil profesional itu sama gah dengan namanya,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran MProRS di Wisma FAM, di sini, semalam.

Untuk peringkat permulaan, seramai enam orang pengadil kebangsaan sudah disenarai pendek untuk menjadi perintis kepada projek berkenaan iaitu Muhammad Nazmi Nasaruddin, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, Zulkarnain Zakaria, Muhammad Faizuddin Ismail, Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman.

Keenam-enam calon itu akan dinilai prestasi mereka dalam saingan Liga Malaysia bermula Februari lalu sehingga Julai ini sebelum dua terbaik akan ditawarkan kontrak untuk bergelar pengadil profesional pertama Malaysia.

Sementara itu, pentas Piala Dunia 2026 bakal dijadikan penanda aras kepada penubuhan MProRS dengan FAM menyasarkan untuk menghantar trio pengadil tempatan ke temasya sukan paling popular itu.

Untuk rekod, pengadil dari Malaysia sebelum ini pernah diberi penghormatan bertugas sebagai pembantu pengadil iaitu Allahyarham Kapten (B) Abdul Halim Abdul Hamid pada Piala Dunia Perancis 1998, diikuti Mat Lazim Awang Hamat (Korea Selatan 2002) dan yang terakhir Subkhiddin Mohd Salleh (Afrika Selatan 2010).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid, sasaran menghantar tiga pengadil iaitu seorang pengadil utama dan dua pembantu pengadil pada Piala Dunia 2026 dilihat realistik dan berharap ia mampu dicapai.

“Sebelum ini kita cuma menghantar seorang saja dalam tiga Piala Dunia, itu pun sebagai pembantu pengadil.

“Dengan tertubuhnya pengadil profesional ini, saya mahu lihat satu hari nanti kita mampu menghantar tiga pengadil secara ‘pakej’ daripada pengadil utama hingga pembantu pengadil dalam satu temasya Piala Dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 6:01 AM
Kabinet Malaysia 2020