X
Jurulatih Selangor, B Sathianathan. FOTO Malik Muhamad
Jurulatih Selangor, B Sathianathan. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


SELEPAS berdiam diri selama empat hari susulan komen yang didakwa berbaur perkauman, pengendali Selangor, B Sathianathan nekad akan membuat laporan polis pada hari ini.

Satianathan berkata laporan polis itu perlu dibuat kerana komen itu bukan sekali diterimanya sebaliknya sudah banyak kali dan mengakui sudah lama menyimpan perkara itu.

Justeru katanya, laporan itu bakal memberi pengajaran berguna kepada mereka yang terbabit memberi komen negatif kepadanya dan pemain selain mahukan peminat lebih berhati-hati memberi komen kerana beliau tidak mahu perkara sama kembali berulang pada masa akan datang.

"Saya kena buat (laporan polis) kerana saya dah memang malas dah nak dengar dan kita ni cakap tapi tak buat apa-apa.. biar kita ada tindakan.. ini bukannya untuk orang-orang yang 'famous' atau politik saja polis perlu ambil tindakan, tetapi semua.

"Sebenarnya perkara ini (komen berbaur rasis) sudah lama saya simpan dan sudah banyak kali.. saya tak ada Facebook tapi orang hantar kepada saya.

"Saya ada peguam, saya ikut peguam, saya adalah rakyat Malaysia, kita sudah merdeka masuk 63 tahun patut kita sudah tahu," ujar Sathia selepas tamat perlawanan dengan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang berkesudahan seri 3-3.

Ketika ditanya adakah komen itu mengganggu tumpuan membimbing pasukan, beliau menafikannya malah akui pemain tidak boikot selain berjaya memperagakan aksi cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan.

"Tak ada (tak ganggu tumpuan).. lagipun saya tak baca.. cuma orang bagi benda ini boleh ambil tindakan, jadi saya akan ambil tindakan dan saya buat ini bukan untuk dapat nama atau ada sesetengah cakap saya nak tutup kelemahan taktik, itu lain.. taktik apa.. kita sudah ada lima mata dalam tiga perlawanan lagipun kita main dengan pasukan yang kuat.. jadi buat apa saya nak panik.

"Jika lihat pemain tiada yang boikot, semua beraksi 100 peratus.. saya punya fokus ialah dengan pasukan.. yang perkara ini soal peribadi," ujarnya.

Isnin lalu bekas pengendali skuad kebangsaan itu berang selepas mendakwa terdapat komen berbaur perkauman yang dilemparkan terhadapnya dan pemain Red Giants di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 10:21 AM