LATIHAN Melaka di padang rumput tiruan sebelum berdepan FELDA United. FOTO NAZRI ABU BAKAR
LATIHAN Melaka di padang rumput tiruan sebelum berdepan FELDA United. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


FAKTOR lambat menyesuaikan keadaan padang menjadi antara punca Melaka gagal meraih sebarang mata selepas tewas 2-3 kepada Felda United pada aksi Liga Super di Stadium Tun Razak, Jengka kelmarin.

Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, skuad kendalian jurulatih Zainal Abidin Hassan hanya bangkit pada penghujung babak, kedua menerusi jaringan Romel Morales (m-81) dan Uche Agba (m-88) ketika sudah ketinggalan 0-3.

Katanya, jangkaan awal kesukaran menyesuaikan keserasian padang akhirnya dilihat ketara pada awal babak perlawanan.

Menurutnya, walaupun sebelum bertolak ke laman lawan skuad Hijau Putih sempat menjalani latihan dua hari di padang rumput tiruan di Kompleks Sukan Rakan Muda, Lendu Alor Gajah namun ianya tidak cukup untuk pembentukan lebih jitu.

“Berbanding lawan yang selesa dengan padang rumput tiruan menyaksikan situasi terbabit jelas memberi kelebihan buat mereka di laman sendiri.

“Kami cuma sempat bangkit selepas mula menguasai rentak di penghujung saingan namun lawan kelihatan agak selesa berada di depan,”katanya.

Beliau berkata, kebangkitan drastik persembahan pemain amat dipuji untuk menidakkan kelebihan lawan namun gol penyamaan gagal diterjemahkan untuk tewas buat pertama kali selepas dua kemenangan.

Malah beberapa peluang terbuka pada awal permainan juga tidak memihak pasukan untuk memerangkap The Fighters sebailknya mereka yang lebih awal membuka jaringan.

Syahrul berkata, walaupun tewas di Jengka pemain sudah berusaha gigih untuk sekurang- kurangnya pulang dengan satu mata namun usaha berkenaan gagal membuahkan hasil.

Sehubungan itu, kesemua pemain diminta untuk bangkit semula ketika berdepan Pahang di Stadium Hang jebat, Sabtu ini bagi menebus kekecewaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 2:13 AM