ZAQUAN (kiri) pernah beraksi dilaman sendiri tanpa penonton sewaktu bersama pasukan Perak yang dikenakan hukuman. FOTO NSTP
ZAQUAN (kiri) pernah beraksi dilaman sendiri tanpa penonton sewaktu bersama pasukan Perak yang dikenakan hukuman. FOTO NSTP
Izzali Ismail


PEMAIN kebangsaan berpengalaman, Zaquan Adha Abd Radzak mahu semua skuad Lang Merah terus bersikap positif dan memberi fokus 100 peratus mencari kemenangan meskipun akan beraksi tanpa sorakan penyokong dalam perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Darul Aman esok.

Dia pernah beraksi dilaman sendiri sewaktu bersama pasukan Perak yang didenda sekitar 2018 apabila beraksi di stadium tanpa penyokong dengan suasana perlawanan disifatkan agak malap dan kurang meriah berbanding suasana kebiasaan.

Menurut Zaquan, dia mengakui dalam bola sepak pastinya pemain memerlukan suasana sorakan dan sokongan penyokong yang meriah untuk pemain beraksi dengan lebih bersemangat, namun dengan ketiadaan penyokong kali ini adalah sesuatu yang diluar jangkaan semua pihak.

“Sebarang perasaan negatif sewaktu beraksi nanti perlu ditolak tepi dahulu sebab perkara itu mampu menggangu rentak permainan kerana misi kali ini adalah penting untuk pasukan mendapatkan tiga mata yang berharga.

“Itu penting kerana kita perlu lupakan sorakan yang selalu kita dengar dan kita perlu beri 100 peratus tumpuan untuk hanya mencari kemenangan pertama yang kita perlukan pada musim ini.

“Disebalik apa jua perasaan apabila beraksi tanpa penyokong nanti, kita perlu elak perasaan yang boleh menggangu perancangan dan pada masa yang sama kita ambil hanya perkara yang positif sahaja yang dapat membina kekuatan kita,” katanya.

Zaquan turut mengakui ada pemain yang tidak boleh beri tumpuan sepenuhnya bila berhadapan dengan penyokong yang ramai dan tidak kurang juga ada juga pemain yang boleh beraksi bila tiada tekanan dalam stadium.

“Saya juga berharap semua pemain mampu mengekalkan semangat juang yang tinggi dalam memberi komitmen seperti yang dituntut walaupun bedepan suasana yang berlainan dalam stadium nanti.

“Terlalu memikirkan perkara negatif tidak akan membantu pemain dalam memberi komitmen yang baik sewaktu beraksi dan dalam masa yang sama kita perlu mengelak kesilapan yang boleh merugikan peluang pasukan mendapatkan kemenangan.”

“Kami sangat mengharapkan tiga mata yang pertama dalam musim 2020 ini dan sedar ini merupakan perlawanan yang penting dan semua tahu Selangor merupakan satu pasukan yang kuat di segenap posisi, namun kami juga ada kelebihan yang tersendiri, itu yang lebih penting.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 11:16 PM