SEMUA negara bersetuju Sukan Para ASEAN ditunda dari 21-27 Mac ke 3-9 Oktober namun bergantung kepada situasi semasa iaitu Covid-19. FOTO NSTP
SEMUA negara bersetuju Sukan Para ASEAN ditunda dari 21-27 Mac ke 3-9 Oktober namun bergantung kepada situasi semasa iaitu Covid-19. FOTO NSTP
Syazwan Msar


SITUASI semakin tidak terkawal mendorong Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) mengambil langkah susulan dengan menunda Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina.

Setiausaha Agung APSF Osoth Bhavilai menerusi kenyataannya memaklumkan keputusan terbabit dicapai menerusi perbincangan bersama jawatankuasa paralimpik kebangsaan (NPC) yang dianggotai oleh Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Perbincangan yang diadakan selama dua jam menerusi sidang video itu dipengerusikan oleh Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC), Michael Barredo

“Semua bersetuju bahawa acara terbabit akan ditunda dari 21-27 Mac ke 3-9 Oktober namun bergantung kepada situasi semasa iaitu Covid-19 sudah dikawal dan tidak lagi menjadi ancaman kepada manusia.

“Selain itu, jawatankuasa juga akan ada perbincangan Julai nanti untuk menilai keadaan Covid-19 sebelum mengesahkan dan meneruskan tarikh baru yang dicadangkan untuk acara itu.

“ Hal ini kerana mahu tuan rumah lebih bersedia sebelum acara berkenaan diteruskan dan pada masa sama jawatankuasa penyelaras APSF juga mahu terlebih dahulu memeriksa kemudahan dan tahap persediaan tuan rumah,” katanya, di sini.

Selain itu, APSF juga sentiasa memantau perkembangan terkini berkaitan Covid-19 dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengelak penularan wabak terbabit.

Sebelum ini, Barredo secara bersendirian mengumumkan tarikh temasya berkenaan pada dari 26 Mei hingga 2 Jun.

Tindakan berkenaan mengundang rasa tidak puas hati Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Temasya itu pada awalnya dijadualkan berlangsung daripada 18 hingga 24 Januari, namun ditunda kepada 20 hingga 28 Mac sebelum ditangguhkan buat kali kedua berikutan isu penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 7:50 PM