AKSI antara Melaka dan Pahang yang berlangsung tanpa penonton sebelum liga diberhentikan sementara.
AKSI antara Melaka dan Pahang yang berlangsung tanpa penonton sebelum liga diberhentikan sementara.
Syazwan Msar

HANYA mampu berdoa supaya wabak Covid-19 beransur pulih dan saingan Liga Malaysia (Liga M) berjalan seperti biasa dengan beberapa pasukan mengakui mereka kerugian sekurang-kurangnya setengah juta ringgit selepas terpaksa ‘berehat’ untuk beberapa minggu akibat penularan penyakit terbabit.

Jika situasi terbabit tidak pulih seperti biasa, kemungkinan pembayaran gaji untuk pemain dan barisan kejurulatihan serta kakitangan pengurusan berhadapan dengan masalah sekali gus situasi bertambah buruk apabila terpaksa menanggung bebanan hutang yang semakin meruncing.

Perkara terbabit diakui Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka Farhan Ibrahim apabila menjangkakan pasukan perlu menanggung kerugian mencecah setengah juta ringgit menerusi penjualan tiket dan penajaan daripada pihak tertentu.

Beliau berkata, perlawanan antara Melaka menentang Pahang yang berlangsung tanpa penonton di Stadium Hang Jebat sebelum ini juga merekodkan kerugian mencecah RM200,000 apabila jualan tiket tidak dapat dilaksanakan.

“Hanya dalam tempoh beberapa minggu ini saja Melaka kemungkinan menanggung kerugian mencecah RM500,000 sekali gus boleh menjejaskan pembayaran gaji kerana dana itu boleh menampung perbelanjaan dan kelangsungan pasukan.

“Segala keputusan diputuskan kerajaan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harus dipatuhi demi kebaikan semua namun sebagai sebuah pasukan bola sepak gaji kepada pemain tetap perlu dibayar,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan sekurang-kurangnya lima pasukan Liga M bakal ‘sengkek’ dalam tempoh beberapa minggu akan datang apabila kantung masing-masing mula kekeringan hingga timbul desas desus ada antaranya sudah ‘sesak’ untuk membayar gaji pemain.

Jika perkara terbabit dibiarkan tanpa sebarang tindakan lanjut kemungkinan Liga M akan bersambung dalam keadaan suram atau mengalami masalah kewangan serius sekali gus gagal memberi saingan kepada pasukan lain.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam Mohd Sadek Mustaffa berkata, antara yang dilihat kemungkinan menghadapi masalah adalah Kelantan, PDRM, Melaka, Perak dan Terengganu apabila mereka lebih bergantung kepada dana kerajaan negeri atau pihak tertentu untuk meneruskan kelangsungan pasukan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Hussin Deraman memaklumkan bahawa pasukannya mampu menjana pendapatan kira-kira RM100,000 hingga RM150,000 untuk setiap perlawanan yang berlangsung di laman sendiri.

“Kami akui jika situasi ini berterusan mungkin akan mengalami masalah berkaitan kewangan terutama untuk membayar gaji pemain kerana ketika ini jualan tiket adalah antara sumber dana kami untuk menampung perbelanjaan.

“Oleh itu, KAFA mungkin akan mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu untuk mencari jalan penyelesaian apabila keadaan semakin meruncing atau saingan liga terus ditunda pada masa akan datang,’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 6:00 AM