ANCELOTTI menghubungi peminat setia Everton yang menghidap penyakit saraf. FOTO AGENSI
ANCELOTTI menghubungi peminat setia Everton yang menghidap penyakit saraf. FOTO AGENSI
AFP

CARLO Ancelotti membuat kejutan kepada peminat Everton yang menghidap penyakit saraf, manakala Jose Mourinho membantu menghantar makanan serta ubat-ubatan, itulah bantuan yang disalurkan pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) ini dalam usaha untuk membantu menangani krisis Covid-19.

Saingan liga utama di England itu terpaksa ditangguhkan sekurang-kurangnya hingga 30 April berikutan pandemik berkenaan namun kelab serta pengurus pasukan membantu golongan yang terdedah dengan wabak itu.

Pengurus Everton, Ancelotti menyertai kempen komuniti kelabnya ‘Blue Family’ dengan menghubungi Mark Cruise, penyokong Everton berusia 52 tahun yang disahkan menghidap penyakit saraf sejak tahun lalu.

Dalam video yang dimuatnaik di laman sosial kelab berkenaan, Ancelotti berjaya membuatkan penyokong berkenaan terkesima dengan panggilan berkenaan.

Pengendali kelahiran Itali itu sempat berbuat mengenai perlawanan Everton yang paling diingatinya, selain menegur Cruise supaya tidak memanggilnya ‘Encik’ Ancelotti tapi cukup sekadar ‘Carlo’.

“Selalunya di Itali, panggilan ‘Encik’ andalah kepada orang yang sangat penting. Saya tidak begitu penting. Saya hanya pengurus,” kata Ancelotti yang sempat berseloroh dengan peminat berkenaan.

Sementara itu, pengendali Tottenham yang bekerja dengan Age UK dan kumpulan komuniti Love Your Doorstep menghantar barang keperluan seperti makanan dan ubat-ubatan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya datang untuk memberikan sokongan kepada Age UK, Enfield dan Love Your Doorstep, bagi membantu masyarakat di kelab komuniti tempatan.

“Ia sangat sukar buat semua orang sekarang, terutama kepada orang tua, jadi saya mahu menawarkan bantuan setakat mana yang termampu,” kata pengendali berusia 57 tahun, yang dirakam sedang memasukkan barangan sambil memakain penutup mulut, hidung dan sarung tangan.

Musuh setempat Tottenham, Arsenal menderma sebanyak 100,000 pound (RM517,000) kepada badan amal tempatan.

Pengurus Gunners, Mikel Arteta diuji positif virus berkenaan awal bulan ini tapi sekarang sudah sembuh sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 1:19 PM