Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Reuters

JAWATANKUASA Olimpik Antarabangsa (IOC) berkata penjadualan semula Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdepan banyak ‘masalah’ logistik dan kewangan namun ia boleh dilangsungkan sebelum musim panas 2021.

Presiden IOC, Thomas Bach berkata ia mungkin boleh berlangsung lebih awal.

Sekalipun ramai menjangkakan temasya itu akan dilangsungkan sekitar Julai-Ogos seperti tarikh asalnya namun Presiden IOC, Thomas Bach berkata ia mungkin boleh berlangsung lebih awal.

“Persetujuan kami adalah untuk menganjurkan temasya ini selewat-lewatnya pada musim panas 2021,” kata Bach.

“Namun ini tidak bermakna ia perlu diadakan pada musim panas dan kita ada banyak pilihan. Musim panas 2021 adalah salah satu daripadanya.”

Terdahulu, IOC bersetuju dengan cadangan Jepun untuk menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 susulan penularan wabak koronavirus.

Ia menjadi acara sukan terbesar tahun 2020 yang terakhir dibatalkan namun persoalan timbul selepas penangguhan itu mengambil masa yang lama untuk diputuskan.

Majoriti atlet lega dengan keputusan itu selepas sesi latihan mereka terjejas namun ia memberi tamparan hebat kepada Jepun yang melabur AS$12 bilion (RM53 bilion) bagi temasya sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 1:12 PM