Wan Sukairi (kanan) berharap tarikh baharu Sukma diputuskan lebih awal. Foto Ihsan MSNT
Wan Sukairi (kanan) berharap tarikh baharu Sukma diputuskan lebih awal. Foto Ihsan MSNT
Malik Muhamad


KERAJAAN negeri akur penangguhan Sukan Malaysia (Sukma) 2020, namun pada masa sama menuntut Jawatankuasa Tertinggi Sukma dapat memutuskan serta memaklumkan tarikh baharu lebih awal iaitu tidak lewat daripada Mei 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menyatakan pemakluman tarikh awal diperlukan bagi memastikan jurulatih dapat menyediakan periodisasi latihan baharu yang lebih sempurna dan sistematik.

Beliau mengharapkan Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang bermesyuarat semalam menepati keputusan mengenai tarikh baharu yang akan dimaklumkan tidak lewat daripada Mei depan.

"Kerajaan negeri sentiasa akur kepada apa saja keputusan jawatankuasa atas dasar keselamatan warga sukan yang menjadi keutamaan, Sukan Olimpik juga diputuskan untuk ditangguhkan pada 2021.

"Warga sukan Terengganu juga sangat komited dalam turut sama memerangi wabak Covid-19 itu yang membabitkan kawalan pergerakan tanpa menjejaskan persiapan atlet.

"Namun harapan kita tarikh baharu Sukma itu perlu dimaklumkan lebih awal bagi memastikan jurulatih dapat melakukan persiapan rapi termasuk latihan baharu yang sempurna," ujar Wan Sukairi dalam kenyataan media hari ini yang turut menyatakan ahli mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma majoritinya mencadangkan tarikh baharu pada Disember ini ataupun pada 2021.

Beliau berkata, berikutan wabak pandemik itu, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sudah mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan semua jurulatih yang terbabit dalam sukan itu memantau latihan atlet yang perlu diteruskan di rumah masing-masing.

Katanya, bagi memastikan prestasi dan konsisten atlet berada pada tahap terbaik, MSNT mewajibkan supaya atlet melakukan latihan di rumah dan perlu menghantar kadar nadi awal serta nadi maksimum setiap hari kepada jurulatih masing-masing.

"Prestasi mereka akan dipantau melalui video latihan dan semakan kadar nadi setiap hari, bagaimanapun kekangan kita adalah latihan daripada aspek kombinasi pemain, teknik dan taktik perlawanan yang tidak dapat diadakan secara sebenar.

"Sebaik sahaja keadaan kembali normal nanti, latihan intensif secara agresif akan dapat dilaksanakan supaya persiapan menyeluruh kontinjen dapat diperkemas serta diperkukuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 1:39 PM
Digital NSTP Subscribe