HAZARD tidak menjadi pada musim pertama bersama Real Madrid. FOTO Agensi
HAZARD tidak menjadi pada musim pertama bersama Real Madrid. FOTO Agensi
Agensi

EDEN Hazard percaya lebih adil untuk menilai pencapaiannya di Real Madrid pada penghujung musim depan.

Pemain berusia 29 tahun itu berpindah ke ibu kota Sepanyol pada Jun lalu selepas cemerlang tujuh musim di Chelsea yang menyaksikan dia meraih dua gelaran Liga Perdana, dua trofi Liga Europa dan Pemain Terbaik Tahunan PFA.

Bagaimanapun, semuanya serba tidak menjadi buat Hazard apabila hanya menjaringkan satu gol dalam 10 aksi La Liga sebelum mengalami kecederaan buku lali bulan lalu yang menyisihkannya daripada baki saingan liga.

Hazard yang diketepikan pada November dan Januari lalu akibat masalah sama mengakui dia berdepan kempen musim pertama yang sukar bersama Los Blancos tetapi dia tahu masih ada masa untuk menutup mulut pengkritik.

"Musim pertama di Madrid memang teruk tapi tidaklah teruk keseluruhannya, ia musim penyesuaian,” katanya ketika ditemuramah RTBF.

"Saya akan dinilai pada musim kedua. Ia mempunyai kumpulan pemain yang hebat, saya bertemu ramai orang baru dan pengalaman berguna kepada saya. Saya ada kontrak empat tahun lagi dan saya harap kembali ke prestasi sebenar.”

Walaupun jahitan kesan pembedahan buku lali dibuka minggu lalu, Hazard dijangka dapat beraksi untuk Belgium pada Euro 2020. Bagaimanapun, kejohanan itu ditangguh 12 bulan susulan pandemik Covid-19.

"Ya, saya turut fikir keselamatan dan kesihatan perlu diutamakan. Pemain bola sepak sama seperti orang lain. Saya akan tunggu tahun depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 11:19 AM
Digital NSTP Subscribe