MAT Zan berkata pemain lebih fokus kepada saingan liga selain tidak memenatkan mereka kerana sudah pasti jadual perlawanan padat jika berlangsungnya Piala FA . FOTO HAZREEN MOHAMAD
MAT Zan berkata pemain lebih fokus kepada saingan liga selain tidak memenatkan mereka kerana sudah pasti jadual perlawanan padat jika berlangsungnya Piala FA . FOTO HAZREEN MOHAMAD
Malik Muhamad


BUKAN hanya saingan Piala Malaysia yang mungkin terpaksa ‘dikorbankan’ berikutan kesuntukan masa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, malah pentas Piala FA juga disarankan dibatalkan.

Ini pandangan yang disuarakan ‘orang besi’ skuad Kuala Lumpur yang juga bekas pemain kebangsaan, Mat Zan Mat Aris dan pernah membimbing pasukan Terengganu, Melaka, Harimau Muda B, Kuala Lumpur dan Pos Malaysia.

Beliau membayangkan saingan Piala Malaysia yang berstatus tertua di benua Asia itu dan Piala FA mungkin tidak dapat dilangsungkan sekiranya kesuntukan masa, apatah lagi kita mahu melihat aksi berkualiti diperagakan pemain.

Bagaimanapun, jurulatih Melawati FC yang beraksi dalam saingan Liga M3 itu akui saingan dua piala berprestij di Malaysia itu boleh diteruskan jika liga kembali bersambung selepas tempoh PKP tamat pada 14 April depan.

Namun menurut bekas pemain lincah Kuala Lumpur itu, jika liga bermula lewat sama ada pada Mei atau Jun, beliau mencadangkan lebih baik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memikirkan semula aksi dua piala itu dan hanya fokus kepada saingan liga sahaja kerana masa terlalu singkat.

“Sama ada diteruskan ataupun tidak saingan Piala FA dan Piala Malaysia adalah bergantung kepada masa yang ada, jika ada masa contoh liga kembali bersambung selepas tempoh PKP berakhir, saingan dua piala itu mungkin boleh teruskan jika ada persetujuan semua pasukan bertanding.

“Tapi melihat situasi semasa penularan wabak pandemik itu, ada baiknya saingan dua piala berprestij itu perlu dikorbankan bagi memberi laluan kepada saingan Liga Super dan Liga Perdana sahaja, lagipun liga mungkin akan berakhir pertengahan Oktober.

“Ini bagi membolehkan pemain lebih fokus kepada saingan liga selain tidak memenatkan mereka kerana sudah pasti jadual perlawanan padat jika Piala FA dan Piala Malaysia diteruskan, ditambah pula kontrak mereka berakhir pada November.

“Daripada sudut kemeriahan pula sudah pasti berkurangan kerana mungkin peminat berhati-hati untuk datang ke stadium kerana bimbang penularan wabak Covid-19 dan mungkin mereka memilih untuk menonton televisyen dan saluran yang sudah ditetapkan di rumah masing-masing.

“Justeru pada saya FAM yang mempunyai ramai pakar-pakar boleh memperhalusinya dan percaya akan membuat keputusan terbaik demi keselamatan dan kesihatan semua termasuk peminat dan pemain, lagipun Sukan Olimpik yang dilangsungkan empat tahun sekali juga sudah ditangguhkan,” ujar Mat Zan.

Piala FA yang sepatutnya bermula pada 17 Mac lalu tidak dapat dilangsungkan berikutan FAM memutuskan menangguhkan semua kejohanan di bawah kelolaan badan induk itu dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bermula 16 Mac lalu susulan kebimbangan penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 7:39 PM