ROSMAN mahu menjadikan pendekatan itu sebagai satu rutin dengan latihan akan berjalan seperti biasa mengikut masa yang ditetapkan. FOTO Ihsan Facebook Rosman Razak.
ROSMAN mahu menjadikan pendekatan itu sebagai satu rutin dengan latihan akan berjalan seperti biasa mengikut masa yang ditetapkan. FOTO Ihsan Facebook Rosman Razak.
Aida Adilah Mat


BIARPUN dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mahu barisan pemainnya berada di dalam prestasi terbaik dengan memantau sesi latihan menerusi aplikasi zoom.

Jika dulu latihan kecergasan atlet dipantau menerusi aplikasi whatapps namun dengan aplikasi zoom beliau akan mengumpul semua pemain di bawah bimbingannya untuk menjalani latihan bersama-sama.

Aplikasi zoom ini adalah panggilan video yang boleh dilakukan pada satu masa membabit lebih dari seorang individu.

Beliau berkata, kaedah itu dilihat dapat menghidupkan kembali semangat sepasukan malah pemain lebih gembira apabila dapat menjalani latihan kecergasan bersama nereka yang lain.

“Secara psikologinya pemain akan berfikir mereka tidak berseorangan. Latihan dibuat bersama-sama dan saya lihat mereka lebih suka kaedah macam ini.

“Sebelum ini pun memang mereka membuat latihan secara bersendiri di rumah masing-masing dan mereka memang tiada masalah dari segi disiplin cuma dalam keadaan sekarang ini terpulang kepada jurulatih untuk menjadi lebih kreatif,” katanya yang mahu semua pemainnya patuh pada arahan kerajaan untuk kekal berada di rumah bagi mengelakkan penularan Covid-19 yang semakin berleluasa itu.

Rosman berkata, beliau akan menjadikan pendekatan itu sebagai satu rutin dengan latihan akan berjalan seperti biasa mengikut masa yang ditetapkan oleh beliau.

Mengenai peluang beregu wanita negara untuk layak ke Olimpik, Rosman berkata, pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean kini berada di kedudukan terbaik iaitu di ranking 10 daripada 16 pasangan ke Olimpik.

Bagaimanapun Rosman menyifatkan kedudukan itu masih belum selamat terutama selepas temasya Olimpik Tokyo ditunda.

“Mereka berada di landasan yang betul tapi belum selamat. Jika kejohanan kelayakan tidak dianjakkan mungkin mereka dah layak tapi sekarang ini kita tunggu BWF untuk syarat terbaru kelayakan.

“Jadi saya harap mereka terus kekal fokus dan positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 11:41 PM