AHMAD Syamim menjalani latihan di rumah keluarganya di Raub. FOTO Ihsan pembaca
AHMAD Syamim menjalani latihan di rumah keluarganya di Raub. FOTO Ihsan pembaca
Mohd Rafi Mamat


LATIHAN kecergasan selama sejam setiap hari di kawasan rumah dilakukan pemain tengah Melaka United (MU) Ahmad Syamim Yahya ketika negara sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19.

Katanya, walaupun tidak dapat turun ke padang namun dia tetap perlu mengadakan latihan dalam usaha mengekalkan kecergasan bagi menghadapi saingan Liga Super yang masih belum pasti tarikh sebenarnya.

Menurutnya, sebagai pemain dia perlu sentiasa mengekalkan kecergasan bagi mengelak aksi lesu dan hambar dipamerkan, sebulan tidak dapat turun ke padang prestasi pasti akan menurun sekiranya tidak ada usaha untuk mengekalkan kecergasan.

“Saya perlu kuatkan semangat dan disiplin sepanjang tempoh PKP, latihan kecergasan perlu dilakukan sekurang-kurangnya sejam sehari menggunakan pelbagai cara seperti mengangkat bebanan, berlari setempat, melompat dan beberapa pergerakan lain.

“Walaupun latihan kecergasan di rumah tidak sama dengan latihan di padang namun memadai untuk mengekalkan kecergasan yang diperlukan bagi pemain bola sepak,” katanya.

Beliau yang pernah beraksi dengan pasukan Felda United, Pahang dan musim lalu bersama Terengganu berkata, jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan beberapa kali mengingatkan kepada pemain supaya mengadakan latihan di rumah sepanjang PKP bagi mengekalkan kecergasan.

Ahmad Syamim yakin semua pemain bola sepak tempatan dan import yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) mengadakan latihan kecergasan di rumah sepanjang PKP, tidak ada alasan untuk mereka berehat panjang sekiranya ingin mengekal prestasi sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 12:31 PM