AHMAD kekal pendirian STL akan dilangsungkan mengikut jadual. FOTO Owee Ah Chun
AHMAD kekal pendirian STL akan dilangsungkan mengikut jadual. FOTO Owee Ah Chun
Malik Muhamad


PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) tetap dengan pendirian awalnya untuk mengekalkan tarikh asal kejohanan Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) yang dijadualkan bermula 15 Ogos depan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, dengan tempoh kejohanan yang masih panjang dengan berbaki lima bulan lagi sebelum dilangsungkan, beliau berkeyakinan wabak Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia akan reda.

Bagi memastikan rantaian wabak pandemik itu dapat dihentikan, beliau menyeru seluruh penduduk yang berada di negara ini terus berusaha dan berdoa selain wajib mengikuti tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa sehingga 14 April depan.

“Setakat ini kita masih lagi berpegang kepada tarikh asal yang ditetapkan, lagipun kita masih ada hampir lima bulan lagi sebelum kejohanan itu bermula, saya berkeyakinan jika rakyat mematuhi PKP ini, insya-Allah wabak Covid-19 boleh diatasi.

“Justeru kita semua harus terus berusaha bermula di peringkat keluarga masing-masing lagi dan terus berdoa memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah.

“Bagaimanapun jika sekiranya wabak ini masih terus menular, besar kemungkinan kita akan menunda ke tarikh lain yang akan kita putuskan dalam jawatankuasa bila tiba waktunya,” katanya.

Rabu lalu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 yang dijadualkan berlangsung di Johor pada Julai depan terpaksa ditangguhkan susulan penularan wabak Koronavirus (Covid-19).

Menurut Ahmad sebanyak enam gelanggang akan digunakan sepanjang kejohanan itu berlangsung mulai 15 Ogos hingga 8 November 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 12:44 PM