RUSTU adalah antara wira Turki ketika Piala Dunia 2002, selepas membantu pasukannya layak sehingga ke separuh akhir dan berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga. FOTO AGENSI
RUSTU adalah antara wira Turki ketika Piala Dunia 2002, selepas membantu pasukannya layak sehingga ke separuh akhir dan berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga. FOTO AGENSI
AFP

BEKAS penjaga gol antarabangsa Turki dan Barcelona, Rustu Recber dikejarkan ke hospital selepas positif Covid-19.

Recber dilabel sebagai wira Turki ketika Piala Dunia 2002, selepas membantu pasukannya layak sehingga ke separuh akhir dan berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga kejohanan berkenaan.

“Rustu dimasukkan ke hospital selepas disahkan dijangkiti Covid-19. Kami masih lagi terkejut selepas simptom berkenaan berlaku dengan pantas kerana sebelum itu semuanya kelihatan normal. Ini adalah masa yang sangat sukar dan kritikal buat kami,” kata isterinya, Isil Recber.

Beliau menambah, semua anaknya dan dirinya sendiri diuji negatif daripada penyakit berkenaan.

Rustu yang sekarang ini berusia 46 tahun menikmati saat indah bersama Barcelona pada 2003, setahun selepas kejayaan di Piala Dunia apabila berjaya mengalahkan tuan rumah bersama, Korea Selatan 3-2 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat.

Dia juga beraksi bersama kelab gergasi Istanbul, Fenerbahce dan Besiktas sebelum bersara pada 2012.

Minggu lalu, pengurus Galatasaray, Fatih Terim berkata, beliau juga disahkan positif akibat virus berkenaan.

Turki setakat ini mencatat 9,217 kes, manakala sebanyak 131 kematian dicatatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 1:18 AM