VETTEL ingin kembali kepada minat lamanya dalam bidang kejuruteraan mekanikal selepas bersara. FOTO Reuters
VETTEL ingin kembali kepada minat lamanya dalam bidang kejuruteraan mekanikal selepas bersara. FOTO Reuters
Agensi

SEBASTIAN Vettel berkata dia berminat untuk kembali menceburi bidang kejuruteraan mekanikal selepas bersara kelak.

Vettel akan muncul sebagai salah seorang legenda Formula 1 selepas melakar 53 kemenangan, 57 petak pertama dan empat kejuaraan dunia sekali gus menjadi pelumba kedua Jerman paling berjaya di belakang Michael Schumacher.

Di sebalik mengharungi musim sukar pada 2019, Ferrari sudah menawarkan kontrak baru kepada pelumba berusia 32 tahun itu untuk musim 2021 manakala McLaren kemungkinan besar akan menjadi destinasi seterusnya untuk Vettel.

Bagaimanapun sebaik bersara, Vettel berkata dia ingin kembali kepada minat lamanya dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Ketika sesi soal jawab bersama media, Vettel berkata: “Sebelum saya memulakan karier profesional, ketika saya di sekolah tinggi, saya merancang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan mempelajari kejuruteraan mekanikal.

“Jadi ia mungkin sesuatu yang akan saya lakukan kelak. Saya membangunkan sesuatu yang dapat menarik minat ramai tetapi pastinya ia berkenaan dengan apa yang saya minati.

“Saya suka untuk memahami bagaimana pembangunan jentera dilakukan dan bagaimana keseluruhan teknologi bergabung sekali.”

Vettel memulakan Formula Satu (F1) pada 2007 ketika dia berjaya meraih mata untuk BMW Sauber pada penampilan pertamanya di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 11:21 AM