DHAARMA (kanan) bersama pasukan Jabar di Indonesia. FOTO Ihsan Dhaarma Raj Abdullah
DHAARMA (kanan) bersama pasukan Jabar di Indonesia. FOTO Ihsan Dhaarma Raj Abdullah
Malik Muhamad


BEKAS jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui gembira dapat melatih Pasukan Provinci Jawa Barat (Jabar), Indonesia bermula pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun bekas jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu terkilan kerana hanya sempat dua minggu bersama pasukan yang berpangkalan di Bandung itu sebelum bergegas kembali ke tanah air susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum perintah berkurung di negara berkenaan.

“Sepanjang dua minggu bersama pasukan Jabar, saya begitu gembira dan terharu dengan sokongan dan layanan yang diberikan kerana mereka begitu dahagakan ilmu dalam sukan hoki ini, biarpun jawatan saya sebagai pengarah teknikal tapi saya tetap turun padang melatih, saya sudah temui tempat yang sesuai untuk saya.

“Pemain yang terdiri daripada empat pasukan lelaki dan wanita begitu positif dan gembira dengan kehadiran saya, mereka berbakat besar kerana misinya mahu beraksi dalam pentas Sukan Olimpik 2032.

“Malah ketika saya mengumumkan untuk pulang seketika dalam tempoh PKP ini, ada antara pemain gagal menahan sebak mengalir air mata kerana menjangkakan saya pulang buat selama-lamanya ke Malaysia berikutan Covid-19.

“Ini yang menyebabkan saya terkilan kerana terpaksa berpisah dengan mereka, namun insya-Allah jika wabak pandemik ini kembali reda saya akan berkelana semula ke Bandung,” katanya.

Dhaarma yang tiba dari Jakarta pada malam Rabu lalu kini masih menjalani proses kuarantin sehingga 8 April depan di Kuala Lumpur bagi memastikan beliau bebas daripada sebarang jangkitan wabak pandemik itu yang membimbangkan dunia.

“Selepas tiba dari Jakarta, saya belum lagi bertemu keluarga kerana akur dengan arahan Kementerian Kesihatan menjalani kuarantin bagi mengelak sebarang jangkitan wabak Covid-19 itu.

“Nasib baik dapat balik ke Malaysia sebelum tempoh PKP dua minggu tamat pada 31 Mac di Bandung, sekarang Bandung sudah diisytiharkan sebagai perintah berkurung.

“Saya harapkan wabak pandemik ini reda lebih awal bagi mempersiapkan pasukan Jabar itu sebelum kejohanan Pekan Olahraga Nasional (PON) bermula pada Oktober depan.

“Selepas kejohanan ini, saya harap diserapkan ke pasukan kebangsaan Indonesia mungkin sebagai pengarah teknikal atau jurulatih untuk pastikan pasukan negara itu dapat beraksi pada Sukan Olimpik 2032.

“Walaupun mungkin sebagai tuan rumah, Indonesia perlu sampai ke satu ranking untuk dibenarkan beraksi seperti mana Brazil ketika Sukan Olimpik di Rio pada 2016,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 12:34 PM