ACARA pembukaan GP British tahun lalu. FOTO Reuters
ACARA pembukaan GP British tahun lalu. FOTO Reuters
Reuters

PENGANJUR Grand Prix British menetapkan penghujung April sebagai tempoh untuk menentukan sama ada saingan Formula Satu (F1) dilangsungkan mengikut jadual pada Julai atau bakal menjadi satu lagi korban akibat pandemik Covid-19.

Perlumbaan itu yang menjadi tumpuan utama pada musim panas, mencatatkan rekod kehadiran tertinggi dalam kalendar F1 dengan kehadiran 351,000 penonton pada tahun lalu.

Kehadiran pada hari Ahad adalah sebanyak 141,000 penonton pada tahun lalu dengan perlumbaan itu menjadi tuan rumah kepada tujuh daripada 10 pasukan bertanding termasuk Mercedes yang diketuai juara dunia enam kali, Lewis Hamilton.

Hamilton memenangi perlumbaan di Silverstone tahun lalu untuk rekod kemenangan keenam.

Britain ketika ini melalui proses penjarakan sosial dengan semua acara sukan di seluruh dunia ditangguhkan dan pihak berkuasa meminta setiap orang supaya duduk di rumah masing-masing.

F1 masih tidak dapat dilangsungkan dengan dua perlumbaan sudah pun dibatalkan dan enam pusingan ditangguhkan.

“Silverstone dan F1 akan sentiasa bekerjasama berhubung situasi semasa dan sedang menilai penganjuran GP British pada 17 hingga 19 Julai.

“Kami memahami sukan lain yang berlangsung pada Julai sudah mengambil keputusan berhubung penganjuran acara mereka.

“Tetapi adalah amat penting untuk menekankan bahawa aspek logistik mereka berbeza berbanding Silverstone dan atas faktor itu, kami memerlukan tempoh masa sehingga penghujung April untuk membuat keputusan,” kata penganjur dalam satu kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 10:18 PM