HUSSIN mengharapkan kerjasama daripada semua pihak termasuk PFAM dalam memastikan arahan FIFA berjalan lancar. FOTO Ihsan Facebook Hussin Deraman
HUSSIN mengharapkan kerjasama daripada semua pihak termasuk PFAM dalam memastikan arahan FIFA berjalan lancar. FOTO Ihsan Facebook Hussin Deraman
Firdaus Hashim


SIKAP degil Persatuan Bolasepak Pemain Profesional Malaysia (PFAM) amat dikesali beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) biarpun garis panduan terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan pasukan dan pemain berbincang mengenai pemotongan gaji.

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) adalah antara yang melahirkan kekesalan di atas pendirian PFAM yang enggan pemain membuka pintu rundingan hingga menjejaskan perancangan pasukan untuk menstruktur semula gaji pemain.

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata, KAFA tetap menghormati kontrak pemain namun dalam pada masa yang sama pemain juga perlu memahami situasi kewangan pasukan ekoran penangguhan saingan Liga-M susulan penularan wabak Covid-19.

“Satu pendekatan yang profesional dari FIFA tapi KAFA agak terkilan dengan pendirian PFAM yang masih tidak berganjak dengan keputusan tidak setuju cadangan potong gaji.

“Dua situasi ini mempengaruhi plan untuk menstruktur semula sistem pembayaran gaji pemain kelab,” katanya kepada Arena Metro, hari ini.

Menerusi pendedahan akhbar ini semalam, FIFA melalui Petugas Khas sudah mengeluarkan peraturan baharu susulan penularan pandemik Covid-19 dengan membenarkan pasukan untuk memotong gaji pemain.

Ia dibuat bagi memastikan kestabilan kewangan pasukan selain mahu mengelak pasukan daripada bankrap.

Jelas Hussin lagi, pihaknya masih mengharapkan kerjasama daripada semua pihak termasuk PFAM dalam memastikan arahan FIFA berjalan lancar. “KAFA masih dalam status tunggu dan lihat.

Dalam sehari dua ini masih mengumpul maklumat untuk dikongsi bersama pemain bagi menyediakan plan pembayaran gaji yang terbaik supaya selari dengan kontrak,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyarankan agar majikan dan pemain dapat berbincang mengenai penstrukturan atau pemotongan gaji pemain ekoran penangguhan liga selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan.

Bagaimanapun, ia tidak diendahkan PFAM apabila enggan menerima cadangan berkenaan dan mahu pasukan menghormati kontrak pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 11:26 PM