ROONEY secara terbuka mengkritik kerajaan dan Liga Perdana. FOTO AFP
ROONEY secara terbuka mengkritik kerajaan dan Liga Perdana. FOTO AFP
AFP

WAYNE Rooney mengkritik kerajaan dan Liga Perdana kerana meletakkan pemain bola sepak di dalam situasi ‘tidak menang’ berhubung cadangan untuk memotong gaji mereka selepas badan yang mewakili pemain memberi amaran tabung Pusat Kesihatan Nasional (NHS) dalam situasi kritikal.

Bekas kapten England itu yang kini beraksi bersama pasukan Liga Kejuaraan, Derby meluahkan perkara itu di dalam kolumnya di Sunday Times apabila berkata, barisan pemain dilihat sebagai sasaran paling mudah ketika menghadapi pandemik Covid-19.

Rooney menjelaskan dia akan melakukan sumbangan kewangan sama ada menerusi pemotongan gaji atau terus menderma kepada NHS, tetapi berasakan tekanan orang ramai terhadap pemain adalah sangat tidak membantu.

Liga Perdana mencadangkan kaedah gabungan pemotongan dan penangguhan gaji sekitar 30 peratus yang dibincangkan dalam satu persidangan video bersama wakil pemain dan pengurus semalam.

“Jika kerajaan mahu saya membantu kewangan jururawat atau membeli alat ventilators, saya cukup berbangga untuk melakukanya selagi saya tahu di mana wang itu digunakan.

“Saya berada di kedudukan yang mungkin mampu memberi sesuatu. Tidak semua pemain bola sepak di dalam situasi yang sama. Tetapi kesemua pemain profesional diminta untuk memotong 30 peratus daripada gaji mereka.

“Mengapa tiba-tiba pemain menjadi kambing hitam? Apa yang berlaku sejak beberapa hari ini sangat memalukan.

“Pada pendapat saya ketika ini tiada situasi menang apabila kami sebagai pemain menjadi sasaran mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 7:34 PM