Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz. FOTO File NSTP
Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz. FOTO File NSTP
BERNAMA

SELEPAS 32 tahun berbakti kepada negara dalam pelbagai kapasiti, terutamanya dalam perubatan dan pentadbiran sukan, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, bersara hari ini.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang mencapai usia 60 tahun hari ini, memberikan sumbangan yang besar dalam sains sukan, perubatan sukan dan juga anti-doping di sepanjang 30 tahun pembabitan beliau dalam sukan.

Selepas mendapat ijazah perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ramlan, memulakan ‘housemanship’ di Hospital Kuala Lumpur pada 1988 dan menjadi seorang anestesiologi di Kuantan (1989), sebelum menyertai MSN pada tahun 1990 dan menjadi pemangku pengarah unit Sains Sukan MSN (sebelum penubuhan ISN) pada 1993.

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran dalam Masters dalam Perubatan Sukan di University of London, dan kembali ke MSN pada 1995.

Dr Ramlan menjadi Ketua Pengarah MSN dari 2005 hingga 2007, namun kembali menerajui ISN apabila institut itu dipisahkan dari MSN dan juga pernah menjadi Penasihat Sains dan Perubatan Sukan kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Selepas kembali ke ISN dengan jawatan CEO pada 2013, Dr Ramlan kemudiannya dipinjamkan ke Kementerian Belia dan Sukan bagi mengetuai Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) pada 2017 sebagai pengarah, sehingga tahun lepas dan berperanan sebagai Konsultan Kanan untuk ISN.

Dr Ramlan juga pernah memberikan khidmat dalam pelbagai acara sukan, termasuklah sebagai Chef-de-Misson (CDM) Sukan Sea Laos 2009 dan Sukan Para Asian Guangzhou 2010, selain turut serta dalam enam Sukan Olimpik dari Barcelona 1992 hingga ke London 2012.

Bagaimanapun Dr Ramlan masih mempunyai tugas yang belum selesai dalam kalangan keluarga sukan - menulis buku mengenai legasi Olimpian Malaysia.

“Buku itu sepatutnya dilancarkan sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang dijadualkan pada Julai tahun ini, namun selepas penangguhannya ke Julai 2021, kami sekarang mempunyai lebih banyak masa untuk menyiapkan projek ini, walaupun saya sudah bersara.

“Dengan masa yang lebih terluang sekarang, saya akan dapat menemuramah lebih ramai Olimpian, dan mungkin pemenang pingat, bagi mendapatkan secara lebih mendalam lagi pengalaman dan mengumpulkan lebih banyak bahan seperti gambar untuk buku itu,” katanya.

Bercakap mengenai karier dan cabaran yang dihadapinya, Dr Ramlan menyatakan antaranya, falsafah dan pelaksanaan kerjanya dalam perkhidmatan sains sukan sebagai satu pendekatan multi disiplin, tugas bersama jurulatih dan sains sukan untuk Sukan Komanwel 1998, 15 kali sebagai doktor pasukan hoki dan perancangan satu ‘unprecedented’ sistem untuk sokongan atlet terbaik yang menyeluruh tetapi berfokus dan juga Program Podium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 10:29 PM