KAIO Felipe seorang pemain yang hebat terutama ketika mengambil sepakan penalti dan sepakan percuma. FOTO Agensi
KAIO Felipe seorang pemain yang hebat terutama ketika mengambil sepakan penalti dan sepakan percuma. FOTO Agensi
Agensi

Seorang pemain bola sepak di Brazil meninggal dunia dalam keadaan yang tragis apabila terkena renjatan elektrik ketika bermain layang-layang.

Layang-layang Kaio Felipe Santos Silva terkena kabel kuasa di Sao Paulo semalam dan aliran elektrik terus mengalir ke tubuhnya.

Pemain berusia 21 tahun itu beraksi di posisi pertahanan kiri bersama kelab Independente, sebuah kelab kecil di bandar yang mempunyai populasi tinggi di Brazil.

Kelab berkenaan yang beraksi di Campeonato Paulista A2, divisyen dua saingan bola sepak negara itu, melahirkan rasa kesedihan di atas insiden sangat menyayat hati.

"Dengan rasa kesal Independente melaporkan mengenai kematian pemain kami Kaio Felipe.

"Kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya," kata kelab berkenaan dalam media sosial bersertakan sekeping gambar.

Kaio Felipe menjadi pemain profesional bersama Inter de Limeira dan juga beraksi bersama Centro Sportivo Paraibano sebelum menyertai Independente, dengan menjaringkan enam gol dalam 22 penampilan.

Seorang wartawan tempatan, Edmar Ferreira menyampai sekalung penghargaan melalui penulisannya.

"Dia sangat muda, begitu sopan, merendah diri dan sangat peramah. Saya mempunyai hubungan baik sebagai seorang kawan dengannya, bermula ketika dia beraksi bersama Inter Bawah 20 tahun.

"Saya menggelarkannya Fabio Santos of Pradao kerana kehebatannya mengambil sepakan penalti dan sepakan percuma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 9:58 PM