WAN Muhammad berniaga pakaian bundle untuk menambah pendapatan. FOTO Mohd Rafi Mamat
WAN Muhammad berniaga pakaian bundle untuk menambah pendapatan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


PERNIAGAAN bundle atau pakaian terpakai yang diusahakan awal tahun ini menjadi lebih rancak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksanya berehat kerana tidak dapat turun beraksi di padang.

Episod berkenaan dilalui pemain pertahanan Piala Presiden Pahang, Wan Muhammad Akmal Hakim Abd Wahab yang berniaga bagi menambah pendapatan selain bagi mengisi masa terluang.

Dia yang mula beraksi dengan skuad belia Tok Gajah sebelum diserap ke dalam pasukan Piala Presiden menegaskan, setiap peluang terhidang perlu direbut sebaik mungkin demi kepuasan diri sendiri.

Katanya, perniagaan bundle yang diusahakan menerusi tawaran mengunakan media sosial Facebook kini semakin mendapat sambutan apabila setiap minggu antara 15 hingga 20 pakaian pelbagai jenama terkenal berjaya dijual.

"Saya ingin menjadikan perniagaan bundle yang diusahakan ini sebagai kerjaya kedua selepas bola sepak, selain mendapat kepuasan setiap kali berurusan dengan pelanggan hasil jualan juga menjadi sumber pendapatan tambahan.

"Saya mendapatkan pakaian bundle daripada ejen kemudian menjualnya semula, setiap minggu saya membuat siaran langsung menerusi Facebook saya bagi memberi peluang kepada pelanggan melihat baju serta beberapa barangan lain.

"Pelanggan yang bersetuju untuk membeli pakaian berharga antara RM10 hingga RM600 akan berhubung dengan saya seterusnya membayar dan proses menghantar secara pos termasuk menghantar secara terus dilakukan," katanya, di sini hari ini.

Beliau yang memasuki empat musim bersama pasukan Piala Presiden Pahang berkata, sokongan keluarga menambahkan semangatnya berniaga walaupun terpaksa membahagikan masa dengan bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 6:58 PM