MUHAMMAD berkata keputusan MFL tepat. FOTO ihsan Muhammad Mohd Faudzi
MUHAMMAD berkata keputusan MFL tepat. FOTO ihsan Muhammad Mohd Faudzi
Malik Muhamad


"Langkah terbaik demi menyelamatkan karier pemain dan semua yang terlibat dalam sukan nombor satu ini," demikian reaksi pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Mohd Faudzi.

Bekas pemain Harimau Muda A itu yang pernah berguru selama tiga bulan di Liga Perdana Queensland Australia pada 2014 berkata demikian susulan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bakal meniupkan kembali 'wisel' Liga Malaysia (Liga M) bermula 1 September 2020.

"Cadangan MFL untuk menyambung kembali saingan Liga Super dan Liga Perdana secara separuh liga itu adalah langkah terbaik dan tepat demi menyelamatkan karier dan sumber pendapatan kami.

"Sebagai pemain kita perlu ikut apa yang diumumkan pihak berkenaan termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan bagi menangani pandemik Covid-19 ini sepenuhnya.

"Dalam masa yang sama ia memberi ruang kepada pemain dan pasukan untuk kembali bersaing dengan melakukan persediaan yang rapi sebelum ke gelanggang menghadapi liga," katanya.

Ditanya adakah pembatalan Piala FA merugikan pasukan, Muhammad akui badan induk bolasepak negara itu sudah memperhalusi sedalam-dalamnya situasi terkini yang memerlukan sesuatu kejohanan perlu ditamatkan seberapa segera.

"Begitu juga dengan Liga Super dan Liga Perdana perlu dihabiskan dengan segera bagi membendung wabak ini, sebab itu liga hanya dilangsungkan hanya pusingan pertama sahaja.

Mengenai kecergasan, Muhammad akui pemain tidak berdepan masalah kerana mereka juga tetap melakukan senaman di rumah walaupun liga terpaksa ditangguhkan bermula 16 Mac lalu.

"Lagipun kami akan diberi masa bermula Ogos untuk sesi latihan di padang sebelum liga di sambung semula. Ini mampu meningkatkan lagi kecergasan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 6:29 PM