Mike Tyson. FOTO Getty Images
Mike Tyson. FOTO Getty Images
Agensi

MIKE Tyson boleh menumbangkan mana-mana petinju heavyweight walaupun pada usianya kini 53 tahun, ujar Oscar De La Hoya selepas menyaksikan video latihan jaguh tinju itu.

Bekas juara dunia heavyweight sedang mempersiapkan diri untuk kembali bertarung dan merancang mengadakan satu perlawanan pertunjukan bagi mengisi tabung kebajikan tahun ini.

Iron Mike membuktikan dia masih mengekalkan stamina bertarung selepas memuat naik video di Instagram, dengan menampil beberapa tumbukan padu dan gerakan merbahaya.

Tyson dikatakan meningkatkan kebimbangan terhadap rakan sepelatih menerusi gerakannya sekalipun lawan memakai pelindung kepala dan badan, dedah bekas juara heavyweight, Joe Egan.

Tyson menjalani latihan persiapan untuk pertarungan amal tahun ini. FOTO Agensi
Tyson menjalani latihan persiapan untuk pertarungan amal tahun ini. FOTO Agensi

Gerakan pantas luar biasa petinju berusia 53 tahun itu sukar dinafikan, dengan beberapa peminat setianya berharap petinju yang mendapat gelaran 'Baddest Man on the Planet' kembali ke gelanggang pertarungan.

Videonya turut menarik perhatian bekas juara dunia, Oscar De La Hoya yang meninggalkan komen balas sensasi mengenainya.

The Golden Boy dalam sukan tinju itu yakin petinju heavyweight veteran itu mampu memberi saingan kepada lawan yang lebih muda.

Katanya : "Saya amat pasti jika dia berlatih untuk 12 pusingan, ketika ini dia sudah menumbangkan mana-mana lawan heavyweight."

Bekas jurulatih Tyson turut mendakwa Iron Mike masih boleh menumbangkan [KO] rakan Amerika, Deontay Wilder dalam beberapa minit jika dia menjalani latihan untuk enam minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 10:40 AM