SKUAD Negeri Sembilan duduki tangga tercorot Liga Perdana.
SKUAD Negeri Sembilan duduki tangga tercorot Liga Perdana.
Mohd Amin Jalil


FORMAT perlawanan satu pusingan yang dirangka Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada September depan, membuatkan ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun, pening kepala memikirkan percaturan terbaik.

Beliau akui menerusi format berkenaan, pasti akan memberi tekanan kepada pemain skuad Hobin Jang Hobin untuk mengharungi cabaran getir disebabkan kedudukan pasukan ketika ini di tangga tercorot carta Liga Perdana.

"Format perlawanan satu pusingan bukan suatu yang mudah untuk dihadapi. Bagi pasukan yang mencapai kemenangan penuh pada saingan peringkat awal liga pastinya boleh menarik nafas lega.

"Namun, berbeza dengan Negeri Sembilan yang tewas tiga perlawanan awal dan kini hanya mengutip tiga mata hasil satu kemenangan serta menduduki tangga terbawah carta.

"Melihat kepada kedudukan itu, sememangnya ia suatu tugas berat dan mencabar kerana pasukan perlu mengharungi tujuh perlawanan padat dalam tempoh sebulan atau sekurang-kurangnya dua perlawanan dalam seminggu," katanya di Seremban, hari ini

Sazali yang baharu mengambil alih tugas selaku pengendali skuad itu musim ini berkata, beliau terpaksa memerah otak memikirkan percaturan terbaik buat skuad bimbingannya kerana tidak mahu Negeri Sembilan terus kempunan meraih pencapaian terbaik dan gagal meraih sasaran ditetapkan iaitu layak ke saingan Liga Super musim hadapan.

Menurutnya, untuk kembali memperbaiki kedudukan dan berada dalam kelompok teratas carta, Negeri Sembilan perlu mempamerkan kebangkitan sebaik aksi liga bersambung nanti.

"Skuad Negeri Sembilan tidak boleh menunggu perlawanan kedua atau seterusnya untuk memulakan rentak terbaik, sebaliknya segera bangkit dengan aksi mantap dan mencapai kemenangan.

"Inilah tugas berat yang perlu diharungi pemain Negeri Sembilan nanti dan mereka perlu buktikan bahawa cabaran itu nanti boleh dihadapi dengan baik serta dapat memastikan keputusan memuaskan dicapai," katanya.

Dalam pada itu, Sazali berharap agar dapat memulakan latihan sepenuhnya dalam tempoh terdekat supaya setiap kelemahan dalam pasukan itu dapat diatasi segera selain memastikan tahap kecergasan anak buahnya memuaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 5:42 PM