TENGKU  Sarafudin Badlishah  (tengah)  bergambar bersama pasukan Kedah sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) Subang untuk berdepan JDT pada final   Piala Malaysia musim lalu.
TENGKU Sarafudin Badlishah (tengah) bergambar bersama pasukan Kedah sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) Subang untuk berdepan JDT pada final Piala Malaysia musim lalu.
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) menolak khabar angin mengaitkan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin sebagai calon untuk memimpin persatuan itu selepas ini.

Timbalan Presiden KFA, Datuk Abdul Rahman Abdullah berkata, sebarang perubahan pucuk pimpinan pentadbiran KFA akan mengikut tatacara perlembagaan serta statut bagi tujuan pelantikan presiden baharu selepas Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang juga mantan Menteri Besar meletak jawatan semalam.

"Untuk makluman, menurut perlembagaan dan statut KFA, tidak disyaratkan Menteri Besar Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman secara automatik dilantik menjadi Presiden KFA.

"Justeru mana-mana individu layak dicalonkan serta diundi oleh 36 badan gabungan KFA seterusnya dilantik menjadi Presiden KFA.

"Namun kelazimannya, badan gabungan KFA akan mencalonkan serta melantik Menteri Besar Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sebagai Presiden KFA," katanya.

Semalam, tersebar khabar angin mengenai dakwaan kemungkinan Tengku Sarafudin bakal dicalonkan untuk menerajui badan induk bola sepak negeri itu.

Malah, kehadiran Raja Muda Kedah disambut baik peminat skuad Helang Merah sekali gus mengharapkan perubahan drastik dalam pucuk pimpinan KFA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:41 PM