X
WOODWARD (kanan) pernah menyatakan kelab itu tidak akan berbelanja besar pada musim pintu perpindahan pemain akan datang termasuk untuk membeli Sanco (kiri). FOTO Agensi
WOODWARD (kanan) pernah menyatakan kelab itu tidak akan berbelanja besar pada musim pintu perpindahan pemain akan datang termasuk untuk membeli Sanco (kiri). FOTO Agensi
Agensi

PENYOKONG kelab lain mengejek Manchester United selepas hasrat kelab gergasi itu untuk menyambar bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho semakin sukar jika mengambil kira gambaran kedudukan kewangan kelab itu.

Berikutan pandemik Covid-19 dan gagal beraksi di Liga Juara-Juara, hutang United kini meningkat kepada £429 juta (RM2.2 bilion).

Naib Pengerusi United, Ed Woodward sebelum ini berkata, kelab itu tidak akan berbelanja besar untuk musim pintu perpindahan pemain akan datang.

Namun khabar angin Red Devils mahu mendapatkan Sancho, Jude Bellingham, Jack Grealish atau James Maddison tidak pernah reda.

Seorang pengguna Twitter menulis: "Penyokong Man United akan menyembunyikan muka mereka selepas rahsia kelab itu sudah terdedah. Jelas sekali anda tidak mempunyai wang untuk membeli Sancho."

Seorang lagi peminat yang memusuhi kelab itu pula berkata: "Penyokong mereka masih mengharapkan dapat menyambar Sancho sedangkan United menanggung hutang yang banyak."

Berita itu juga menarik minat seorang penyokong Chelsea yang berkata, kelabnya itu masih berpeluang untuk mendapatkan Sancho.

"Chelsea sentiasa hebat dalam persaingan untuk mendapatkan pemain. Dengan isu Covid-19, masih belum ada sebarang kepastian, tapi Chelsea kini mendahului saingan," katanya.

Tidak kurang juga yang mengeluarkan kata-kata sinis terhadap penyokong United.

"Tapi menurut penyokong United, mereka masih mampu untuk mendapatkan Sancho, Harry Kane dan Grealish," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 7:58 AM