ANIS (kanan) bersama Fatehah.
ANIS (kanan) bersama Fatehah.
Aida Adilah Mat


TERKANDAS di Malaysia tidak menyekat Anis Amira Rosidi meneruskan latihan dan ia sentiasa dipantau ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley menerusi panggilan video setiap minggu.

Atlet yang mempunyai ketinggian 1.74 meter itu berkata, tiada masalah besar baginya kerana sama ada berlatih di Malaysia atau Melbourne ketika ini, suasananya sama saja berikutan keadaan wabak Covid-19 tidak membenarkan atlet berada di gimnasium atau berlatih di velodrom seperti biasa.

"Bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia. Sama ada di Malaysia atau Melbourne latihan sama saja kerana tetap tidak boleh keluar ke gim atau ke trek. Trek di Melbourne juga ditutup sama seperti di sini.

"Cuma kemudahan untuk gimnasium tidak mencukupi. MSN juga tidak dapat menghantar bantuan barangan kerana saya jauh di Perlis. Jadinya saya hanya ikut saja jadual latihan dan program yang diberikan John," katanya.

Kata Anis, dia sedar tugas digalasnya ketika ini amat berat apabila menjadi sandaran tunggal skuad berbasikal wanita negara selepas persaraan Fatehah Mustapa.

Begitupun, pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur dalam acara berpasukan itu berkata, dia sudah bersedia dan mengikut perancangan disusun Beasley dengan meletakkan sasaran meraih pingat di Sukan Asia dan Komanwel selepas itu.

Namun atlet berusia 22 tahun itu menyedari, tugas itu bukan mudah ditambah pula sandaran kini diletakkan ke atas bahunya seorang.

"Saya akan tetap fokus dan akan ikut saja perancangan dari John. Cuma saya harap dapat buat yang terbaik untuk negara.

"Memang teruk sedikit bila tinggal saya seorang tapi tak mengapa, saya akan cuba dan akan memberi yang terbaik," katanya yang sebelum ini terbabit dalam olahraga acara 200m dan 400m sehinggalah mengalami kecederaan kaki ketika berusia 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 5:47 PM