AIDIL (kiri) tak dapat beraya bersama ibunya (tengah) di kampung.
AIDIL (kiri) tak dapat beraya bersama ibunya (tengah) di kampung.
Firdaus Hashim


"SAYA rindu ibu, tapi kesihatan lebih penting," kata pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak yang terpaksa meraikan sambutan Aidilfitri di Johor Bahru buat kali pertama pada tahun ini.

Jelasnya, ini Syawal paling sayu untuknya sekeluarga apabila tidak dapat beraya bersama ibu tersayang di kampung halaman, Seremban kerana lebih memikirkan faktor kesihatan dan keselamatan keluarga ketika wabak Covid-19 masih lagi belum berakhir.

Sudah pasti, tonggak utama skuad Harimau Selatan itu berasakan sambutan Aidilfitri di Johor Bahru tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya tetapi Aidil tetap bersyukur isteri dan anak-anak masih bersamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

"Persiapan raya kali ini memang sangat berbeza sebab buat pertama kalinya saya tidak beraya di kampung, jadi mahu atau tidak, kami sekeluarga tetap di Johor Bahru sahaja untuk Hari Raya pada tahun ni.

"Kebiasaannya memang saya akan balik kampung jumpa ibu dan ibu mertua saya, tetapi dengan keadaan wabak masih belum, saya tidak mahu ambil risiko membahayakan kesihatan ahli keluarga yang lain.

"Saya pun ada anak-anak yang masih kecil dan dekat kampung pun ada ramai orang tua yang lebih berisiko tinggi terkena jangkitan, jadi saya buat keputusan untuk beraya di sini sahaja walaupun sebenarnya rindu sangat nak balik jumpa ibu.

"Tidak mengapa, selepas wabak ini berakhir, kita boleh sambung beraya bila-bila masa sahaja untuk kembali bersama keluarga, cuma sekarang ini biarlah kita berkorban terlebih dahulu kerana nyawa lebih utama," jelasnya.

Memikirkan perjalanan Liga Malaysia, harapan Aidil juga sama seperti pemain lain yang inginkan saingan kembali bersambung selain mengharapkan pandemik ini segera berakhir.

Terdahulu, MFL merancang meneruskan pertandingan Liga Super, Liga Perdana bermula pada 1 September dan berakhir pada 27 September ini.

Piala Malaysia pula akan berlangsung dari 17 Oktober hingga 7 November manakala saingan Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 6:12 PM