KOULIBALY bakal digandingkan dengan Maguire. FOTO Agensi
KOULIBALY bakal digandingkan dengan Maguire. FOTO Agensi
Agensi

BINTANG Napoli, Kalidou Koulibaly dilaporkan menjadi sasaran utama Manchester United pada musim panas selepas skuad Ole Gunnar Solskjaer makin terdesak mendapatkan pertahanan tengah berwibawa.

Pemain berusia 28 tahun yang dianggarkan bernilai £70 juta (RM371 juta) itu mungkin boleh berpindah pada penghujung musim ini selepas enam tahun beraksi di Serie A. Dia menyertai Napoli selepas berpindah dari Genk pada 2014.

United dikatakan menawarkan £89 juta (RM472 juta) untuk mendapatkan pertahanan itu tahun lalu dan bersedia membuat tawaran baharu pada akhir kempen.

Susulan pandemik koronavirus, Napoli tidak mungkin mendapat jumlah itu dan tanda harga pemain itu turut merosot dengan drastik.

Menurut Daily Express, Red Devils mahu pemerkasaan bahagian tengah sebagai keutamaan nombor satu mereka dan Solskjaer mahu menggandingkan Koulibaly dengan Harry Maguire di bahagian belakang.

Masa depan Chris Smalling, Victor Lindelof dan Phil Jones pula mencetuskan tandatanya dengan ketiga-tiganya berpotensi untuk dilepaskan pada musim panas.

Paris Saint-Germain sebelum ini dikatakan turut berminat terhadap Koulibaly tetapi Express melaporkan mereka akhirnya menarik diri daripada persaingan mendapatkan pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 8:40 PM